top of page
  • Wartawan Nabalu News

Webinar "People and the mountain relation" 6 Okt ini



3 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dengan kerjasama Lembaga Pemegang Amanah Taman Taman Sabah akan menganjurkan program “People and The Mountain Relation” melibatkan empat negara -- Malaysia, Indonesia, Filipina dan Korea Selatan melalui webinar pada 6 Oktober ini.


Perasmian webinar ini akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, YB Datuk Jafry Ariffin.


Webinar People and the Mountain Relation merupakan program di bawah Kluster Sosio Budaya Pendidikan, BIMP-EAGA yang bertujuan untuk menggalakkan perkongsian budaya dalam kalangan negara-negara terlibat.


Pelbagai isu akan dibincangkan melalui webinar ini termasuk pandang dunia (worldview) komuniti budaya terhadap gunung (biasanya dianggap "gunung suci‟) yang membawa kepada pemuliharaan dan pemeliharaan alam semula jadi di kawasan terbabit.


Dalam konteks Sabah, Gunung Kinabalu merupakan gunung suci bagi kebanyakan komuniti khususnya Kadazandusun, Rungus, dan sebagainya di kawasan sekitar gunung Kinabalu mengikut kepercayaan nenek moyang. Keperluan untuk menjaga ‘kesucian’ gunung tersebut bukan sahaja sebagai habitat flora dan fauna tetapi juga sebagai ‘dunia orang mati’.


Pada masa kini, Gunung Kinabalu telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia 2000 dan termasuk dalam Kinabalu Geopark. Gunung ini juga banyak menerima kunjungan pelancongan dalam dan luar negeri sebelum pandemik COVID19.


Taman-Taman Sabah antara badan berkanun yang menjadi penggerak kepada Projek Kinabalu Geopark.


Dalam masa yang sama, pihak LKNS antara yang berperanan menjadi penilai dalam aspek kebudayaan.


Justeru, topik webinar kali ini membawa beberapa sudut pandang berbeza dari pelbagai negara termasuk, pengenalan kepada Kinabalu Geopark, pandang dunia masyarakat Kadazandusun terhadap Gunung Kinabalu, memahami hubungan di antara manusia dan gunung, peraturan dalam pelancongan di dalam komuniti, protokol kawasan tanah tinggi dan juga perkongsian tentang budaya di kawasan gunung bagi Negara-negara Indonesia, Filipina dan juga Korea Selatan.


Webinar ini berlangsung sepenuhnya secara atas talian selaras dengan norma baharu bagi membendung penularan virus Covid-19.


Antara panel yang terlibat ialah Lita Rahmiati (Indonesia), Julius Relly Paner dan Miguelito Velasco Trocio (Filipina) dan Professor David Alan Mason (Korea Selatan).


Selain itu, panel-panel dari Sabah pula terdiri daripada Noredah Othman (Lembaga Pelancongan Sabah), Dr. Paul Porodong (Perunding Budaya, LKNS), Tindarama Dr. Benedict Topin (KDCA), Allesandra Markos (Sabah Biodiversity Centre) dan Justinus Guntabid (Taman Taman Sabah).


Webinar ini akan bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 4.00 petang dan disiarkan secara langsung di aplikasi media sosial Facebook Rasmi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Youtube Sabah Gov untuk tontonan umum.


Comments


bottom of page