WISMA PUTRA SEDANG BINCANG DENGAN SINGAPURA SOP RENTAS SEMPADAN PERJALANAN BELAS IHSAN
- nabalunews
- Jan 3, 2021
- 1 min read

3 JAN 2021
KLUANG: Kementerian Luar sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Singapura berhubung prosedur operasi standard (SOP) rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi membolehkan orang ramai melakukan perjalanan atas dasar belas ihsan seperti menziarah keluarga sakit.
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata buat masa ini tiada SOP yang selaras berhubung perjalanan rentas sempadan atas dasar belas ihsan.
“Kita anggap mereka ini sebagai ‘compassionate groups’, mereka yang hendak membuat lawatan kepada ibu, bapa atau keluarga yang sakit,” katanya yang ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sembrong, di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini SOP berhubung perjalanan atas dasar belas ihsan hanya secara ‘ad hoc’, dan sekiranya ada kes tertentu, orang ramai perlu membuat rayuan untuk merentas sempadan.
“Jadi, sekarang ini, saya sedang bincang dengan Singapura supaya ada SOP yang selaras untuk kes sebegitu (belas ihsan),” katanya. - Bernama
Comments