top of page
Wartawan Nabalu News

Wujudkan jawatankuasa khas tangani masalah pengangguran di Sabah – Phoong


22 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phoong Jin Zhe mencadangkan satu Jawatankuasa Tindakan Pengangguran Belia ditubuhkan bagi menangani masalah pengangguran yang tinggi dikalangan belia di negeri ini.


Beliau berkata, dengan penubuhan jawatankuasa itu diharap dapat menangani masalah masalah gaji yang rendah, dan masalah kekurangan peluang pekerjaan di Sabah.


“Kadar pengangguran di Sabah adalah yang tertinggi dengan kadar lapan peratus berbanding negeri-negeri lain iaitu sekitar tiga hingga lima peratus.


“Malah Sabah juga mencatatkan kadar pengangguran siswazah yang tertinggi di Malaysia dengan 9.5 peratus.


“Oleh itu, ramai anak-anak muda di negeri ini terpaksa meninggalkan negeri ini dan meninggalkan keluarga untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan bahas, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Jin Zhe berkata, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor perlu mengetuai jawatankuasa tersebut dan dianggotai menteri-menteri berkenaan, pakar-pakar dan wakil rakyat dari pihak kerajaan dan pembangkang.


“Sepanjang krisis Covid-19 ini, kita melihat semakin ramai rakyat Sabah yang jatuh miskin. Ini dapat dibukti dalam statistik, kadar Kemiskinan Mutlak Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia, iaitu 25.3 peratus.


“Pendapatan Isi Rumah per kapita di negeri ini juga menurun sebanyak 10.3 peratus. Ramai golongan dari M40 telah jatuh ke B40. Pada tahun 2019, 32.2 peratus berpendapatan di bawah RM3000 sebulan, angka ini meningkat ke 38.6 peratus pada tahun 2020. Ini ertinya lebih ramai keluarga di negeri ini semakin miskin dan sengsara,” tambahnya.


Oleh itu, bagi membantu golongan miskin dan warga emas di negeri ini, Phoong mencadangkan agar Kerajaan Negeri menambah bajet Bantuan Am ke RM100 juta setiap tahun.


“Diharapkan dengan penambahan bajet ini ianya dapat meringankan beban para golongan miskin dan warga emas.


“Selain itu, kita perlu wujudkan lebih banyak fasiliti jagaan warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri dan ianya seharusnya diberi keutamaan,” katanya.

Comments


bottom of page