top of page

YBR Sumbang 100 Set Meja dan Kerusi kepada SK Mangkapon

nabalunews

22 Disember 2024


PITAS : Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan 100 set kerusi dan meja kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon, Bengkoka, pada Jumaat lalu.


Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Koperasi Kampung Sinukab Kanibongan Berhad, Junsim Rumunzing, mewakili Pengerusi YBR Malaysia, Datuk Philip Lasimbang.


Penolong Kanan SK Mangkapon, Boni Mogunsi, meluahkan rasa syukur atas sumbangan tersebut dan menyatakan penghargaan kepada Yayasan Bank Rakyat atas sokongan mereka dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran di sekolah berkenaan.


“Sumbangan ini sangat bermakna kepada sekolah kami kerana ia akan membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid-murid. Kami berterima kasih kepada YBR dan semua pihak yang terlibat,” kata Boni.


Sementara itu, Junsim turut menyampaikan penghargaan kepada YBR atas usaha menyokong koperasi tempatan dalam melaksanakan inisiatif ini.


“Kami berterima kasih kepada YBR yang sentiasa prihatin terhadap keperluan komuniti luar bandar. Bantuan ini pasti memberi impak positif kepada murid-murid SK Mangkapon,” ujar Junsim.


Bagi pihak sekolah, sumbangan ini mencerminkan komitmen YBR dalam menyokong pembangunan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar dan program CSR seperti ini bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal sekolah, malah merangsang motivasi pelajar untuk belajar dalam suasana yang lebih selesa.


Pihak sekolah berharap kerjasama strategik dengan agensi dan organisasi seperti YBR dapat diteruskan bagi memastikan kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman terus diberikan perhatian.

Comments


bottom of page