YBR sumbang katil boleh laras kepada pesakit strok di Kadamaian

16 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Gigong Sinandung, seorang pesakit strok dari Kg. Gontuong Rosok, Kadamaian menerima sebuah katil boleh laras sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang diserahkan oleh Kelab Kebajikan Kadamain menerusi Program I Care Kadamaian.
Gigong Sinandung, yang juga merupakan Ketua Cawangan UPKO Kg Gontuong Rosok dan salah seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian UPKO Kota Belud, telah mengalami strok beberapa bulan lalu. Isteri beliau juga merupakan pesakit strok dan mereka tinggal bersama anak mereka yang memberikan penjagaan intensif.
Sumbangan katil ini diharap dapat membantu Gigong dalam proses pemulihannya dan memberikan keselesaan semasa beliau berehat.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, atas sumbangan tersebut serta kata-kata semangat dan sokongan yang diberikan kepadanya.
Ketua Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin mewakili Datuk Ewon Benedick, dalam majlis tersebut. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Kelab Kebajikan Kadamaian di kediaman Gigong hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, dan ahli-ahli Kelab Kebajikan Kadamaian.
Program I Care Kadamaian merupakan sebuah inisiatif yang dijalankan oleh Kelab Kebajikan Kadamain untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan Kadamaian. Program ini telah membantu ramai individu dan keluarga yang menghadapi kesukaran dalam kehidupan seharian.
Comments