top of page
  • Wartawan Nabalu News

Zafrul ulangi kenyataan pemberian 40 peratus hasil cukai Sabah tidak lagi terpakai


24 Mac 2022 KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Malaysia, Dato' Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengulangi kenyataan hari ini bahawa kandungan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Sabah berhak menerima 40% hasil bersih daripada kutipan cukai Kerajaan Persekutuan tidak lagi terpakai. Menurutnya, ia kerana kajian semula telah dilaksanakan dipersetujui bersama di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sepanjang tempoh 1969 hingga 1973. “Sememangnya pada awal pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa negeri Sabah berhak menerima Pemberian Khas bersamaan dengan dua perlima (2/5) atau 40% daripada hasil bersih negeri Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. “Namun, formula tersebut tidak lagi terpakai oleh kerana kajian semula ke atas Pemberian Khas telah dijalankan dan dipersetujui bersama di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 1969 hingga 1973 serta kadar tersebut masih berkuat kuasa,” katanya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini. Walau bagaimanapun Zafrul memaklumkan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang dalam proses mengkaji semula dan menambah baik isu pemberian khas tersebut selaras dengan perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. “Hasil kajian semula perkara tersebut akan dimaklumkan kelak,” katanya. Terdahulu, Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) meminta Zafrul menjelaskan langkah yang telah, sedang dan akan diambil kerajaan untuk melaksanakan penyerahan 40% pungutan cukai persekutuan dari Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian 1963 (MA63).

Comments


bottom of page