10,000 pekerja bakal dilatih kemahiran pertolongan cemas
- nabalunews
- Jun 13
- 1 min read

13 Jun 2025
GENEVA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan inisiatif melatih 10,000 tenaga kerja dengan kemahiran asas pertolongan kecemasan.
KESUMA dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu dimeterai menerusi kerjasama strategik antara KESUMA, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) serta Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).
"Kerjasama ini sekaligus memperkukuh kesiapsiagaan pekerja dalam menghadapi kecemasan di tempat kerja dan dalam komuniti," menurut kenyataan itu.
Pengumuman itu dibuat Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, semasa lawatan rasmi ke ibu pejabat IFRC di sini, pada Khamis.
Menurut KESUMA, latihan berkenaan akan dilaksanakan menerusi HRD Corp dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan tumpuan kepada sektor berisiko tinggi seperti pembuatan dan industri utama.
Kursus Pertolongan Cemas di Tempat Kerja itu, katanya, bukan sekadar latihan teknikal, tetapi juga sebagai usaha memperkasa pekerja dan memupuk budaya keselamatan nasional.
"Antara objektif utama inisiatif ini adalah untuk mengurangkan kadar kematian serta kecacatan akibat kemalangan menerusi tindak balas awal yang berkesan.
"Selain itu, ia juga memupuk budaya keselamatan dalam kalangan majikan dan pekerja, serta menyokong pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514)," tambah kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Steven yang juga Penaung PBSMM Pulau Pinang menegaskan, kerjasama itu bukan sekadar latihan semata-mata, sebaliknya sebagai usaha untuk memperkasa masyarakat dalam menyelamatkan nyawa.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kementerian untuk membina tenaga kerja yang lebih selamat, bersedia serta berdaya tahan menghadapi cabaran," katanya.
Comments