11 teras manifesto jadi garis panduan pembangunan Bandau jika diberi mandat – Suzie
- nabalunews
- 53 minutes ago
- 2 min read

21 November 2025
BANDAU: 11 teras strategik dalam manifesto calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Suzie Salapan bakal menjadi garis panduan untuk pembangunan menyeluruh sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri kali ini.
Suzie berkata manifesto “Untuk Bandau Yang Lebih Baik” itu dirangka sebagai manifestasi harapan rakyat berdasarkan cabaran sebenar dihadapi di kawasan itu merangkumi pembangunan inklusif, ekonomi mampan dan pentadbiran berintegriti.
“Saya meletakkan tiga asas teratas sebagai keutamaan manifesto saya iaitu ekonomi, pendidikan dan belia. Saya percaya, dengan ekonomi yang kukuh, pendidikan yang berkualiti, dan belia yang dihargai serta diberi ruang untuk berkembang, Bandau akan lebih maju dan sejahtera,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau bertekad memperkasa kemandirian ekonomi rakyat melalui sokongan keusahawaan termasuk latihan, bimbingan dan akses kepada bantuan pembiayaan untuk membina kapasiti perniagaan serta menjana pendapatan stabil.
Dalam aspek pendidikan pula, Suzie komited memajukan generasi muda di Bandau menerusi aspirasi “1 Keluarga, 1 Anak ke Universiti/TVET”, selain memperkukuh program sukan, seni serta kemahiran yang boleh memberi nilai tambah terhadap sosial dan ekonomi kelompok itu.
Dalam masa sama, beliau juga mahu menggerakkan belia sebagai agen perubahan antaranya melalui penubuhan pusat aktiviti belia yang menyediakan ruang untuk inovasi, kreativiti dan kepimpinan.
“Belia akan dilibatkan secara aktif dalam pembangunan kampung dan pekan, menjadikan mereka penyumbang utama dalam transformasi sosial,” jelasnya.
Beliau juga menggariskan agenda memperkukuh perpaduan sosial melalui program keharmonian dan inisiatif bantuan bersepadu melibatkan institusi agama, sekolah dan komuniti.
Dalam masa sama, Suzie berjanji memperluas akses kebajikan secara lebih telus melalui penambahbaikan mekanisme penyampaian bantuan supaya tiada kelompok tercicir.
Beliau juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan kemudahan asas dan infrastruktur yang seimbang antara kampung dan pekan, selain mahu menjadikan Pekan Bandau sebagai pusat komuniti yang bersih.
Dalam pada itu, beliau turut berjanji memperkasa aktiviti agro pelancongan dan budaya tempatan sebagai sumber pendapatan alternatif, selain memastikan warisan budaya terus terpelihara.
“Saya juga akan memperjuangkan pengiktirafan tanah adat secara adil. Saya akan menjadi penghubung antara komuniti dan kerajaan bagi memastikan pemilikan tanah adat dihormati dan diurus secara telus,” jelasnya.
Dari segi pentadbiran, Suzie memberi jaminan bahawa integriti, ketelusan dan akauntabiliti akan menjadi amalan tadbir urus sekiranya diberi mandat memimpin Bandau.
Akhir sekali, beliau akan melaksanakan pelan strategik Blueprint Pembangunan Bandau 2026–2030, yang menetapkan hala tuju pembangunan jangka panjang yang menyeluruh dan mampan.
“Manifesto ini bukan sekadar janji, tetapi cerminan aspirasi dan impian kita bersama. Beri saya peluang selama lima tahun untuk membuktikan apa yang mampu saya lakukan untuk Bandau,” katanya.


















Comments