136,055 KAD BURUNG-BURUNG, IMM13, SIJIL BANCI DIKELUARKAN DI SABAH SEHINGGA 2013136,055 KAD BURUNG-BURUNG, IMM13, SIJIL BANCI DIKELUARKAN DI SABAH SEHINGGA 2013
top of page
  • nabalunews

136,055 KAD BURUNG-BURUNG, IMM13, SIJIL BANCI DIKELUARKAN DI SABAH SEHINGGA 2013



21 DIS 2020


Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sejumlah 136,055 Kad Burung-Burung, IMM13 dan Sijil Banci telah dikeluarkan sejak tahun 1976 hingga 2013, di Sabah.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, statistik itu diterimanya melalui jawapan bertulis pada persidangan dewan undangan negeri yang lepas.


Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 36,892 Kad Burung-Burung telah dikeluarkan (Resit Akuan Pendaftaran Baru 1976-1985, Kad Pengenalan Penempatan 1978-1986, Resit Pendaftaran Sementara 1988-1990, Resit Pengenalan Sementara 2007-2010).


“IMM13 sebanyak 51,645 dokumen dikeluarkan (Fasa Pertama 1973-1985, Fasa Kedua 1997-2005, pengeluaran kepada anak pemegang IMM13 dihentikan pada tahun 2013).


“Sijil Banci sebanyak 47,518 dokumen dikeluarkan (Fasa Pertama 1990-1991, Klasifikasi Sijil Banci 1994-1996) yang dikeluarkan dari tahun 1976 hingga 2013. Kita tahu siapa Kerajaan ketika dokumen-dokumen ini dikeluarkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan bahas pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kebimbangan rakyat Sabah terhadap masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini memberi implikasi kepada pelaksanaan rancangan pembangunan di negeri ini.


Bagaimanapun katanya, isu dan keperluan berkenaan keselamatan dalam negeri di Sabah tidak banyak dicakupi dalam Belanjawan Negeri 2021.


Katanya lagi, keresahan rakyat tulen Sabah semakin bertambah kuat apabila Kerajaan Persekutuan mencadangkan pemberian dokumen IMM13 kepada pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci sedangkan mereka merupakan PATI di Sabah.


“Apakah justifikasi dan syarat-syarat yang membolehkan pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci diberi IMM13? Adakah ciri-ciri dokumen baharu dokumen IMM13 ini? Dan adakah ianya berbeza dengan cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun lepas atau sebenarnya sama, hanya nama sahaja yang berbeza,” katanya.


Ewon berkata, Akta Imigresen tidak mengiktiraf Kad Burung-Burung dan Sijil Banci. Maka persoalan baharu, adakah kini pemegang-pemegang dokumen tersebut sudah diterima sah di bawah Akta Imigresen? Juga pengumuman Menteri Dalam Negeri yang mencadangkan pemberian IMM13 kepada ‘stateless children’.


“Mereka ini bukan pelarian, tetapi mahu diberikan dokumen pelarian iaitu IMM13. Adakah Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan cadangan tersebut?,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri telah dilaporkan menyatakan di Dewan Rakyat tempoh setahun bagi menyelesaikan isu mereka yang tiada kad pengenalan.


“Dalam konteks Sabah, kita meminta penjelasan apakah implikasi dasar dan kenyataan tersebut kepada pemegang-pemegang IMM13 dan juga kepada pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang mahu diberikan dokumen IMM13.


“Apakah mereka ini mahu diberikan kad pengenalan sebagai warganegara? Siapakah kumpulan sasaran yang mahu diberikan kad pengenalan tersebut?

“Saya nyatakan ini kerana Yang Amat Berhormat Ketua Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2021 telah menyatakan mengenai Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.


“Kita tidak mahu pula nanti rakyat mengatakan kemajuan di Sabah lebih banyak dinikmati oleh pendatang asing berbanding rakyat tulen Sabah. Sama seperti mereka mengatakan hari ini, di sebalik ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan kesan daripada pandemik Covid-19, tiba-tiba pula pendatang asing yang ditawarkan Pas Kerja Sementara,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page