148 gereja di Kadamaian terima RM148,000 sumbangan Krismas daripada Ewon
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

18 Disember 2025
KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sejumlah RM148,000 sumbangan Krismas kepada 148 gereja di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, sumbangan itu bertujuan untuk membantu persiapan setiap gereja merayakan sambutan Krismas ataupun Tahun Baharu 2026.
“Setiap gereja menerima sumbangan sebanyak RM1,000 pada hari ini. Saya telah memperkenalkan program bantuan kepada badan-badan keagamaan bagi menyokong penganjuran sambutan perayaan masing-masing.
“Bagi gereja-gereja, dua sumbangan disalurkan setiap tahun, iaitu RM1,000 untuk sambutan Krismas dan RM1,000 untuk sambutan Paskah.
“Begitu juga bagi masjid dan surau di kawasan ini, dua sumbangan tahunan turut disediakan, iaitu RM1,000 bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dan RM1,000 bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Ini bermakna semua badan keagamaan, sama ada gereja, masjid atau surau di DUN Kadamaian, menerima sumbangan yang sama rata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Krismas, di sini, hari ini.

Ewon berkata, pemberian sumbangan itu boleh memupuk semangat kekitaan, kebanggaan dan kebersamaan di kalangan rakyat Kadamaian.
“Saya mahu melihat rakyat Kadamaian mempunyai sense of belonging yang lebih jitu dengan adanya penghormatan tinggi saya kepada acara-acara keagamaan yang disokong melalui peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian.
“Saya sentiasa mengajak semua rakyat Kadamaian yang hidup berjiran dan berkomuniti untuk terus memantapkan silahturahim, semangat perpaduan, perdamaian, keharmonian, kerjasama dan kebersamaan dalam kejiranan komuniti Kadamaian.
“Keunikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya rakyat Sabah merupakan kekuatan utama Sabah First yang mesti dipertahankan,” katanya.














