190 peserta tamatkan ekspedisi Wilderness Leadership SAB di Kiulu
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

29 Mei 2026
KIULU: Seramai 190 peserta dari pelbagai daerah di seluruh Sabah berjaya menamatkan ekspedisi Wilderness Leadership selama tiga hari dua malam yang dianjurkan Jabatan Pelayanan Belia Seventh-day Adventist Sabah (SAB) Mission, di sini baru-baru ini.
Program berkenaan menuntut peserta menempuh perjalanan sejauh 36 kilometer merentasi kawasan ladang, perkampungan, bukit bukau serta hutan belantara sebagai syarat melengkapkan modul Silver Award, iaitu pengiktirafan kepimpinan khas untuk golongan belia.
Pengarah Jabatan Pelayanan Belia SAB Mission merangkap Pengerusi Penganjur, Willborn Gondolos berkata, daripada 230 penyertaan yang diterima, hanya 190 peserta berjaya meneruskan cabaran hingga ke garisan penamat.
"Peserta perlu membawa sendiri kelengkapan peribadi termasuk khemah, pakaian dan bekalan makanan sepanjang ekspedisi.
“Ekspedisi melibatkan kawasan ladang, perkampungan serta laluan bukit yang curam dan licin. Walaupun hujan lebat berlaku pada sebelah petang, semua peserta berjaya tiba dengan selamat,” katanya.
Willborn berkata, hari kedua ekspedisi merupakan fasa paling mencabar apabila peserta perlu menempuh perjalanan sejauh 16 kilometer dari D’Point Campsite Mangkaladom menuju ke Waig-waig Campsite melalui kawasan Pinahawon dan Bukit Kulintangan.
Menurutnya, laluan tersebut melibatkan pendakian curam merentasi belantara, kawasan ladang serta beberapa anak sungai dengan trek yang mencabar.
"Semua peserta bergerak mengikut kumpulan masing-masing bersama pemandu arah yang ditugaskan, manakala pasukan perubatan terdiri daripada pengamal perubatan profesional turut ditempatkan bagi memastikan keselamatan peserta sepanjang program berlangsung.
“Ada kumpulan yang tiba seawal 2 petang manakala kumpulan terakhir sampai pada 9.30 malam,” katanya.
Pada hari terakhir, peserta hanya perlu menamatkan perjalanan sejauh enam kilometer dari Waig-waig menuju ke garisan penamat di Kandaki Homestay.
Beliau berkata program itu bukan sahaja menerapkan nilai kepimpinan dan semangat berpasukan, malah memperkukuh persahabatan dalam kalangan peserta serta membentuk ketahanan diri, disiplin dan kecekalan mental.
“Syabas dan tahniah kepada semua peserta. Penghargaan turut diberikan kepada para pemandu arah, pasukan perubatan serta ahli jawatankuasa yang memastikan kelancaran ekspedisi ini,” katanya.
Majlis perasmian program disempurnakan Ahli Parlimen Tuaran merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Majlis penutupan pula disempurnakan ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai. Turut hadir Presiden SAB Mission, Jim Gabu.















Comments