top of page

20 Peratus Pelaut Tempatan Anak Sabah

  • nabalunews
  • Jun 25
  • 2 min read

25 Jun 2026


KOTA KINABALU : Kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan pelaut tempatan di Malaysia terdiri daripada anak Sabah.


Ketua Pengarah Laut Malaysia, Datuk Dickson Dollah berkata, rekod Jabatan Laut Malaysia menunjukkan anak Sabah merupakan kumpulan kedua terbesar dalam industri kepelautan negara, sekali gus membuktikan negeri ini mempunyai potensi besar dalam industri maritim negara.



"Anak muda Sabah mempunyai kelebihan dari segi disiplin, daya tahan dan keberanian yang merupakan antara ciri penting untuk berjaya sebagai pelaut.


"Sabah juga mempunyai kedudukan strategik dengan kawasan pesisir pantai yang luas serta aktiviti ekonomi berasaskan laut yang menyokong pembangunan sektor maritim dan ekonomi biru," katanya ketika berucap pada Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Pelaut Sedunia, di sini, pada Khamis.


Menurut Dickson, program tersebut merupakan permulaan kepada siri jelajah nasional industri maritim Malaysia, dengan Sabah dipilih sebagai negeri pertama bagi penganjurannya.



"Sabah dipilih sebagai negeri pertama bagi penganjuran Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Sabah 2026 yang menjadi permulaan kepada siri jelajah nasional industri maritim.


"Pemilihan ini merupakan pengiktirafan terhadap kedudukan strategik negeri ini serta potensi besar anak-anak mudanya dalam bidang maritim," ujarnya.


Beliau berkata, Sijil Kompetensi (CoC) yang dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membolehkan pelaut tempatan memperoleh peluang pekerjaan sama ada di atas kapal mahupun dalam sektor maritim di darat.


"CoC merupakan lesen profesional kepada pelaut tempatan. Ia bukan sahaja sah digunakan untuk berkhidmat di atas kapal, malah turut diiktiraf oleh pelbagai agensi dan entiti maritim profesional di darat," jelasnya.


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pelaut atas bakti yang dicurahkan kepada industri maritim negara.


Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick.


Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Peter Mojuntin; serta Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Maswandie Maimoon. /Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page