200 terima anugerah kecemerlangan, 25 bantuan laptop dari YBR
top of page
  • Wartawan Nabalu News

200 terima anugerah kecemerlangan, 25 bantuan laptop dari YBR

9 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Seramai 200 pelajar dari pelbagai institut pengajian tinggi awam di negara ini menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat (YBR).


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, 187 penerima adalah graduan ijazah sarjana muda dan selebihnya graduan ijazah sarjana.


Beliau berkata, ini merupakan satu sumbangan besar YBR kepada pendidikan negara.


“Saya berharap Yayasan Bank Rakyat terus melaksanakan program-program seumpama ini sebagai sokongan, galakan dan juga motivasi kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam akademik.

“Anugerah kecemerlangan akademik ini dilaksanakan sejak 2018 dan sehingga kini seramai 480 pelajar tajaan YBR yang memperolehi keputusan cemerlang iaitu PNGK 3.50 ke atas menerima anugerah ini.


“Jumlah keseluruhan peruntukan yang telah disalurkan sehingga tahun 2023 sebanyak RM480,000,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2023 tajaan YBR, di sini, hari ini.


Turut hadir Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR merangkap Pengerusi Bank Rakyat Mohd Irwan Mohd Mubarak.


Ewon berkata, inisiatif Anugerah Kecemerlangan ini tercetus apabila anggota Bank Rakyat pada tahun 2017 mengusulkan YBR memperuntukkan satu peratus daripada sumbanhan tahunan anggota untuk anugerah ini.


“Satu peratus sumbangan anggota berjumlah RM15 juta iaitu RM150,000 diperuntukkan bagi anugerah ini,” katanya dan menambah YBR telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk Anugerah Kecemerlangan Akademik tahun 2023.


Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun tertinggi jumlah penerima berbanding tahun-tahun sebelumnya seiring dengan trend permohonan kepada Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah YBR yang meningkat secara drastik.


“Ini juga menunjukkan bahawa YBR semakin mendapat perhatian masyarakat dan lebih ramai mengharapkan bantuan daripada YBR,” katanya.


Selain anugerah kecemerlangan akademik, YBR turut memberikan biasiswa kepada pelajar cemerlang.


“Pada hari ini, seramai 25 pelajar cemerlang matrikukasi lepasan tahun 2023 yang menyambung pengajian ke ijazah sarjana muda menerima biasiswa berjumlah RM47,000 merangkumi komputer riba.


“Program ini merupakan komitmen YBR membantu lebih ramai modal insan cemerlang mendapat kualiti pembelajaran yang terbaik,” katanya.

bottom of page