top of page

206 PATI warga asing dihantar pulang ke Filipina

  • nabalunews
  • Jun 13, 2025
  • 2 min read

13 Jun 2025


KOTA KINABALU: Seramai 206 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina, berjaya dihantar pulang menerusi program pemindahan tahanan asing ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Sabah.


PATI yang dihantar pulang melibatkan bayi, hingga individu dewasa berusia 11 bulan hingga 63 tahun yang sebelum ini ditahan dari Depot Imigresen Papar.


Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan PATI dipindahkan ke destinasi asal iaitu Zamboanga City, Filipina, menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1.

Katanya, tahanan PATI terdiri daripada 119 lelaki dewasa, 43 wanita dewasa, 28 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.


“Semua kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing.


"Sehingga ke hari ini, seramai 4,970 orang warganegara Filipina telah balik ke negara asal dan menyumbang kepada jumlah keseluruhan PATI di bawah program pemindahan tahanan asing ke negara asal dari Sabah sahaja iaitu seramai 6,273 orang.

“Semua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan mempunyai Travel Documents (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.


Katanya, tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah serta individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"JIM juga menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.


"JIM akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page