250 pelajar B40 kawasan Likas terima Bantuan Persekolahan daripada YBR
top of page
  • Wartawan Nabalu News

250 pelajar B40 kawasan Likas terima Bantuan Persekolahan daripada YBR


Tan (duduk tengah) bersama Philip (duduk dua dari kiri) dan Dennison (duduk kanan) serta pegawai-pegawai dan cikgu-cikgu mengambil gambar kenangan bersama pelajar-pelajar.

8 Februari, 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 250 pelajar golongan B40 di sekitar kawasan Likas menerima Bantuan Persekolahan melalui satu majlis penyerahan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Kelab Rotary Penampang, di Kolej Vokasional Likas, di sini, hari ini.


Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Tan Lee Fatt. Turut hadir, pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, pengerusi Kelab Rotary Penampang Benjamin Tan dan pengerusi penganjur Dennison R. Indang.


Philip berkata, bantuan tunai itu adalah untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama bagi keluarga golongan berpendapatan rendah.

Katanya lagi, bantuan YBR seumpama itu bukan hanya untuk pelajar kawasan luar bandar, tetapi juga disampaikan kepada penduduk bandar yang memerlukan.



“Pihak YBR sentiasa peka dengan kesulitan yang dihadapi rakyat terutama dari golongan berpendapatan rendah.


“Oleh itu, YBR sentiasa mengadakan program seperti ini untuk menyalurkan bantuan kepada para pelajar di seluruh negeri yang memerlukan termasuk yang menetap di bandar kerana kita sedia maklum ada kalanya kos sara hidup di bandar lebih tinggi daripada kos sara hidup di kampung,” katanya ketika berucap pada majlis itu.


Sementara itu, Tan yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah merakamkan penghargaan kepada YBR kerana sudi menyalurkan bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar di kawasan Likas.


“Permasaalahan rakyat bukan sesuatu yang asing bagi saya kerana sudah dua penggal saya menjadi wakil rakyat di sini. Kenaikan harga barang memang membebankan semua rakyat dan saya harap saluran tunai daripada YBR dapat membantu meringankan sedikit beban itu,” katanya.


Dalam pada itu, Dennison yang banyak membantu untuk menjayakan penganjuran majlis itu turut memberi penghargaan kepada Kelab Rotary Penampang kerana memberikan kerjasama menjayakan program itu.



Turut hadir, Pengarah Kolej Vokasional Likas Haji Mokhtar Haji Ibrahim dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Likas Alex Tan Liang Boon.


Pelajar-pelajar yang menerima bantuan adalah dari SMK Likas, SMK Perempuan, Kolej Vokasional Likas, SM Lok Yuk dan SMJK Shan Tao.

bottom of page