26 PATI Ditahan Di Kunak Dan Lahad Datu
- nabalunews
- Oct 19, 2025
- 1 min read

19 Oktober 2025
LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam tiga siri operasi penguatkuasaan iaitu Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip di sekitar daerah Kunak dan Lahad Datu pada 14 dan 15 Oktober lalu.
Operasi dilaksanakan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM berkata, Ops Selera melibatkan pemeriksaan terhadap sebuah premis perniagaan di daerah Kunak.

Katanya, seramai 11 individu diperiksa dan mendapati seorang lelaki warga Filipina gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi diteruskan dengan Ops Sapu di beberapa kawasan penempatan dalam daerah yang sama.
“Operasi bermula sekitar tengah malam dan berakhir pada awal pagi dengan pemeriksaan terhadap 93 individu.

“Pemeriksaan mendapati 11 orang warga Filipina yang terdiri daripada tujuh lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi turut dilakukan di sekitar kawasan penempatan awam di daerah Lahad Datu dan memeriksa seramai 55 individu pelbagai warganegara.
“Hasil pemeriksaan berjaya menahan 14 orang warga Filipina yang terdiri daripada sembilan lelaki, empat perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu katanya, JIM Sabah akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Katanya, orang awam turut diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan atau aktiviti PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia termasuk talian aduan dan platform dalam talian yang disediakan.















Comments