top of page
nabalunews

3,000 hadir ke Karnival 3K USHWANE


7 Disember 2024


PENAMPANG: Dianggarkan lebih 3,000 orang berkunjung ke hari pertama Karnival Keunikan, Kesenian dan Kebudayaan, 3K anjuran Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) di Buhavan Square, Donggongon hari ini, 7 Disember sejak jam 9 pagi tadi setakat jam 9 malam.


Selain persembahan badut bagi sesi kanak-kanak, salah satu aktiviti yang diadakan di Karnival 3K USHWANE adalah pertandingan mewarna kanak-kanak berkonsepkan 3K di mana seramai 50 peserta kanak-kanak mengambil bahagian. Aktiviti ini dirasmikan oleh Petrus Conrad Mojuntin, Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N26 Moyog merangkap Setiausaha Sulit kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang mewakili Setiausaha Politik Kanan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Caesar Mandela Malakun.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang turut hadir bagi merasmikan pula pertandingan Ratu Kebudayaan Kanak-Kanak.seramai 20 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Turut hadir di hari pertama Karnival 3K USHWANE adalah Ahli Dewan Negara yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Senator Datuk Nelson Angang dan Carl Moosom, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Pengerusi penganjur yang juga pengerusi Persatuan USHWANE, Rowindy Lawrence berkata orang ramai dipelawa hadir ke hari kedua karnival 3K USHWANE di tempat sama, esok kerana banyak lagi acara menarik disediakan kepada pengunjung.


Antaranya orang ramai khususnya usahawan berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan geran pembiayaan, bantuan bisnes dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti maklumat lanjut mengenai tawaran-tawaran agensi kerajaan bagi tahun hadapan seperti yang diumumkan dalam bajet 2025.

Antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam karnival 3K USHWANE adalah TikTok Shop Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Sabah, Kraftangan Malaysia, Penampang Tourism Association, Hospital Mesra Bukit Padang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), KPJ Sabah Specialist Hospital dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


PERKESO turut mengadakan kempen kesedaran keselamatan dalam karnival ini dengan memberikan 20 helmet motor secara percuma bagi cabutan tiket bertuah.


Orang ramai juga berpeluang membeli pelbagai produk usahawan tempatan di reruai yang disediakan.

Menurut Rowindy lagi, Karnival 3K USHWANE bertujuan untuk mempamerkan keunikan, kesenian, dan kebudayaan di Sabah sambil memperkasakan usahawan wanita luar bandar untuk mengetengahkan hasil produk dan kreativiti mereka. Ini sejajar dengan inisiatif awal Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.


Karnival 3K USHWANE dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang (MPP).


Majlis Perasmian karnival dijangka disempurnakan oleh Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada Ahad, 8 Disember jam 8 malam.

Antara pengisian karnival adalah persembahan kebudayaan tradisional seperti tarian Sumazau, pameran hasil seni dan kraftangan tempatan serta gerai makanan tradisional yang menampilkan pelbagai juadah di Sabah.


Acara kemuncak yang akan dipertandingkan adalah Pertandingan Tarian Berkumpulan Kebudayaan Etnik Sabah.


"Bengkel interaktif dan demonstrasi seperti anyaman rotan dan pembuatan kraftangan tradisional di reruai tradisi, turut dilangsungkan," katanya.


Menurut Rowindy, pengisian program di sepanjang Karnival 3K USHWANE turut melibatkan penganjuran pertandingan mewarna kanak-kanak, Kids Fun Time bersama persembahan badut, Pertandingan Ratu Kebudayaan Kanak-Kanak, sesi podcast bersama agensi-agensi kerajaan yang melibatkan perbincangan mengenai perancangan agensi kerajaan untuk 2025 dan kemudahan kepada rakyat, taklimat pembiayaan oleh TEKUN Nasional, pertandingan karaoke dan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah termasuk peti sejuk, TV, kipas, mesin basuh, ketuhar dan banyak lagi.


Beliau menambah Jualan Rahmah MADANI ANGKASA turut diadakan sepanjang 2 hari penganjuran karnival menawarkan harga murah seperti beras, gula dan sebagainya.


"Jangan lepaskan peluang merancang masa depan anda untuk tahun 2025 di Karnival ini! Banyak aktiviti menarik, hadiah hebat, dan peluang untuk menyokong komuniti tempatan. Jumpa anda di sana esok !," kata Rowindy.

Comments


bottom of page