50 ribu dijangka hadir ekspo terbesar pertanian 2026
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghadiri Ekspo Agro Sabah (SAEX) 2026 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selama tiga hari pada 21 hingga 23 Ogos ini.
Sektor pertanian Sabah bakal menyaksikan perhimpunan terbesarnya tahun ini menerusi SAEX 2026.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ESM Exhibitor Relations Malaysia, Arpandi Jasmin berkata, acara ini bakal menjadi platform utama yang menghimpunkan lebih 50,000 pengunjung merangkumi petani, usahawan tani, agensi kerajaan, pelabur, penyelidik dan orang awam di bawah satu bumbung.
Majlis perasmian akan disempurnakan pada 22 Ogos 2026 jam 11 pagi oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar.

“Kehadiran beliau membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh keterjaminan makanan tempatan serta memposisikan Sabah sebagai pusat pertanian moden dan lestari di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
SAEX 2026 bakal menampilkan lebih 200 gerai pameran yang mempamerkan pelbagai teknologi dan penyelesaian terbaharu di seluruh rantaian nilai agromakanan. Ia bakal menjadi pusat inovasi dan peluang perniagaan.
Antara sektor utama yang diberi tumpuan termasuklah:
• Pertanian Pintar & Pertanian Jitu: Penggunaan sensor IoT, dron, sistem pengairan automatik serta pengurusan tanaman berasaskan data.
• Jentera & Peralatan: Pameran traktor, jentera penuaian dan mesin pemprosesan pascapenuaian moden.
• Akuakultur & Penternakan: Teknologi pembiakan, pemakanan haiwan dan sistem pengurusan ladang ternakan.
• Hortikultur & Bioteknologi: Benih berkualiti tinggi, baja bio, penyelesaian tanah lestari serta pemprosesan makanan bersijil halal.
Katanya, selain pameran, SAEX 2026 turut membuka peluang besar bagi padanan perniagaan, jalinan rakan pengedaran dan pertukaran pengetahuan antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Bagi memantapkan kemahiran peserta, program ini juga menawarkan pelbagai aktiviti latihan amali dan ceramah khas secara percuma.
Antara pengisian utama ialah Kursus Penternakan Kambing yang memberi pendedahan mengenai pemilihan baka dan pengkomersialan serta Program Jelajah Bioekonomi bagi menggalakkan pemanfaatan sisa pertanian menjadi produk bernilai tinggi.
Ini adalah pembangunan kemahiran dan sesi pakar di mana pengunjung berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada pakar industri menerusi siri ceramah khas, termasuk Lim Chin Khee (pakar penanaman durian), Calvin Chin (pakar penanaman halia hasil tinggi), dan Jessie Ambukon (perintis pengeluaran telur masin komersial).
Sesi ini turut merangkumi topik pembiayaan, peraturan eksport dan penjenamaan produk agro.
Arpandi menegaskan bahawa SAEX 2026 dirangka sebagai ekosistem strategik untuk menyatukan pelbagai pihak demi merangka masa depan pertanian negeri. Ia adalah komitmen untuk memodenkan sektor agro di Sabah.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan teknologi dan pengetahuan dapat diakses oleh semua pihak, daripada pekebun kecil hingga perusahaan besar, agar kita dapat membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan, menguntungkan dan lestari," katanya.
SAEX 2026 dibuka kepada para petani, PKS, koperasi, pelajar, pelabur, agensi kerajaan dan sesiapa sahaja yang berminat dengan masa depan industri makanan dan pertanian.
Ekspo ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari dan penyertaan adalah percuma untuk seluruh lapisan masyarakat. Untuk maklumat lanjut penganjur boleh dihubungi di talian 014-6855471.











