- Wartawan Nabalu News
56 pain darah terkumpul dalam kempen derma darah BSMM Putatan

14 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTATAN: Sebanyak 56 pain darah berjaya dikumpulkan dalam Program Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Putatan pada Sabtu.
Program tersebut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan komuniti setempat dan Kelab Radio Amatur Borneo (BARC).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang meninjau program tersebut menyifatkan usaha murni ini sebagai satu langkah penting bagi memastikan bekalan darah di hospital-hospital di Sabah mencukupi.
Beliau berkata, program kempen derma darah sepatutnya diadakan dengan lebih kerap dan disokong oleh semua lapisan masyarakat.
“Ini bagi memastikan Unit Tabung Darah mempunyai bekalan darah yang mencukupi untuk menampung keperluan hospital-hospital di Sabah.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penderma darah yang hadir menjayakan usaha murni ini,” katanya kepada media.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya turut memuji penglibatan BARC dalam menyebar luas maklumat berkaitan kepentingan menderma darah dan program-program yang diadakan sepanjang tahun kepada ahli-ahli kelab serta pengamal frekuensi radio amatur di Sabah.
Program tersebut berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang di ruang legar Putatan Mall.
Turut hadir, Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib, Naib Pengerusi BSMM Putatan, Adnan@ Awang Damit Ibrahim Pengerusi Jawatankuasa Program Derma Darah Daerah Putatan, Harun @Hamidon Abd. Wahab, Setiausaha Kehormat BSMM Putatan, Zainuddin Moksil dan Pegawai Publisiti BSMM Putatan, Azman Jumat.