60 pelajar B40 di Tuaran terima bantuan awal pengajian dari YBR
top of page
  • Wartawan Nabalu News

60 pelajar B40 di Tuaran terima bantuan awal pengajian dari YBR


Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyerahkan bantuan awal pengajian kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

17 April 2024

OIeh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Seramai 60 pelajar dari kalangan keluarga B40 dan asnaf di daerah ini telah menerima bantuan awal pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).


YBR dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran menyerahkan bantuan awal pengajian bagi pelajar yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).


Bantuan ini bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada penerima yang layak, baik sebagai permulaan memulakan semester mahupun untuk memperoleh peralatan pengajian yang diperlukan.


Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, dalam majlis penyerahan bantuan, menyampaikan penghargaan kepada YBR atas sokongan yang diberikan.


Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan untuk membantu lebih ramai pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan di Tuaran.


Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.


Philip menekankan bahawa bantuan tunai ini akan membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.


“Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan semangat baru kepada para penerima untuk mencapai kejayaan dalam pengajian mereka.


“Tuaran tergolong antara sembilan daerah termiskin di Malaysia dan bantuan ini dapatkan meringankan bebanan kewangan ibu bapa atau individu untuk menyediakan kelengkapan pembelajaran anak-anak sebagai persediaan di IPT," katanya.


Pada tahun 2023, sebanyak 3,580 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.29 juta di seluruh negara.

bottom of page