62.47 Gram Syabu Dirampas Daripada Tiga Pengedar Dadah
- nabalunews
- 12 minutes ago
- 1 min read

4 Disember 2025
LAHAD DATU: Tiga lelaki yang dikenalpasti menjalankan aktiviti pengedaran dadah berjaya ditahan dalam dua operasi berasingan di sekitar Felda Sahabat, semalam.
Hasil serbuan Op Tapis berkenaan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, berjaya merampas keseluruhan 69.47 gram dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, serbuan pertama yang dijalankan pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang sawit Kampung Sungai Merah, di sini, membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan empat paket syabu seberat 6.55 gram bernilai anggaran RM720.50.
“Susulan kejayaan berkenaan, pasukan operasi menyerbu sebuah lagi rumah pekerja di Lestari, Felda Sahabat 11, kira-kira jam 5 pagi.
“Pasukan operasi turut menahan dua lelaki berusia 32 tahun di sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan membawa kepada penemuan sebuah beg silang berwarna hitam yang mengandungi tiga paket syabu seberat 62.92 gram dengan nilai anggaran berjumlah RM6,921.20.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Katanya, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksye. 39B akta sama yang membawa kepada hukuman mati.
Dzulbaharin menegaskan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan seluruh IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini.














