- nabalunews
63 rumah setinggan dirobohkan, 13 PATI ditahan
5 Ogos 2024
KOTA KINABALU: 63 rumah setinggan di daerah ini dirobohkan menerusi Operasi Perobohan Rumah Setinggan dan Operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) Bersepadu Mega, pada Sabtu.
Operasi yang bermula pada jam 3.30 petang itu turut menahan 13 individu warga asing kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, rumah berkenaan dibina secara haram dan tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.
“Perobohan ini bukan sahaja bertujuan, menghapuskan penempatan haram tetapi juga untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar.
“Dalam operasi ini, sebanyak 63 rumah setinggan telah dirobohkan. Selain itu, polis juga menahan 13 individu warga Filipina, Indonesia dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, semua tangkapan ini akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 51(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, semua mereka yang ditangkap akan melalui proses saringan dan siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Operasi ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha membanteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial di daerah ini.
“IPD Kota Kinabalu komited memastikan daerah ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah,” katanya.
Perobohan Rumah Setinggan dan Operasi PATI Bersepadu Mega membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Eletricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah Dan Ukur serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Commentaires