Aaron Dagang, Ewon Benedick dicadang ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63
4 Februari 2024
KUCHING: Dua wakil dari Sabah dan Sarawak dicadangkan untuk dimasukkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai ahli jawatankuasa tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick antara nama dicadangkan sebagai ahli jawatankuasa tersebut.
Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa itu juga yang distrukturkan semula berikutan tiada porfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) selepas kabinet dirombak pada Disember lalu.
“Walaupun saya sendiri dari Sarawak tetapi saya memerlukan seorang dari negeri ini untuk duduk dalam jawatankuasa teknikal.
“Sebab dahulu kita ada menteri, sekarang tiada timbalan menteri dan tiada menteri berhubung tugas-tugas khas dan hal ehwal Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu, kalau saya tiada di Parlimen untuk menjawab soalan khususnya maka Aaron akan membantu untuk menjawab di Parlimen,” katanya ditemui media selepas menyempurnakan sumbangan Tahun Baharu Cina di Dewan SUPP Sungai Matang Tengah, di sini, kelmarin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Politik kepada Premier yang juga Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, penstrukturan semula tersebut dijangka diselesaikan bulan ini dan draf tersebut akan dibawakan ke mesyuarat kabinet.
“Draf sudah sedia, cuma perlu dimasukkan dan diedarkan. Cuma ada proses dan diharapkan dapat diselesaikan dalam Februari,” ujarnya.
Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pula dipengerusikan oleh Fadillah sementera Jawatankuasa Penyelaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diwakili pegawai kerajaan yang membincangkan perkara asas dalam MA63.- Suara Sarawak
Hozzászólások