AirAsia tawar tambang tetap RM299 sempena PRU Sabah
- nabalunews
- Oct 22
- 1 min read

22 Oktober 2025
KOTA KINABALU: AirAsia menawarkan promosi tambang tetap RM299 sehala termasuk semua caj bagi penerbangan dari Semenanjung ke Sabah sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah Ke-17 pada 29 November ini.
Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini, tambang tetap berkenaan melibatkan penerbangan dari destinasi domestik utama ke Sabah antara 26 hingga 28 November dengan lebih 4,300 tempat duduk merangkumi lapan laluan dan 24 penerbangan.
Tawaran merangkumi laluan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau atau Labuan; dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu dan Tawau serta dari Kota Bharu dan Pulau Pinang ke Kota Kinabalu.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan syarikat penerbangan untuk menghubungkan komuniti dan menyokong rakyat Malaysia pada hari bermakna khususnya di Sabah yang merupakan salah satu pasaran domestik terpenting bagi AirAsia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata sebagai syarikat penerbangan pilihan semua, AirAsia sentiasa bersama komuniti.
“Pilihan raya merupakan hari yang menyatukan masyarakat untuk membentuk masa depan, dan inisiatif ini adalah cara kami membantu rakyat pulang serta mengambil bahagian.
“Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam rangkaian kami dan inilah salah satu cara kami terus meraikan kembali kepada negeri ini terutama kepada rakyat dan negara,” katanya.
Penerbangan promosi itu boleh ditempah bermula hari ini hingga 26 Oktober melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia Move.


















Comments