Aksyah: Perbandingan tarif elektrik Sabah-Sarawak tidak relevan

5 Oktober 2026
KOTA KINABALU: Perbandingan kos elektrik Sabah dengan Sarawak secara bulat-bulat tidak relevan kerana kedua-dua negeri mempunyai struktur dan sumber tenaga yang berbeza, kata Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai kelebihan geografi dengan kemudahan empangan hidroelektrik berskala besar seperti Bakun dan Murum yang menghasilkan tenaga boleh baharu pada kos operasi rendah, manakala grid tenaga Sabah masih banyak bergantung kepada gas asli dan bahan api yang terikat dengan kos pasaran dunia.
"Untuk menuntut kadar tarif yang sama tanpa memiliki struktur grid yang sama adalah seperti meminta sebuah kereta Kancil memecut selaju kereta Ferrari. Ia tidak logik," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Aksyah berkata demikian ketika mengulas tulisan Johnny S.H. Liew bertajuk Before saying RM15 is 'not a burden', look across to Sarawak, yang menurutnya cuba memanipulasi kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berhubung pelarasan tarif elektrik di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedar nilai RM15 kepada keluarga yang memerlukan, namun tujuan pelarasan itu adalah menstrukturkan semula kadar penggunaan bagi memastikan 85 peratus pengguna domestik terlindung daripada impak ekstrem.
Katanya, pelarasan berkenaan bukan bertujuan mengaut keuntungan, sebaliknya satu pelaburan struktur bagi memperbaiki grid tenaga Sabah dalam jangka panjang.
"Kalau kita mahu memandu kereta yang lebih besar dan selesa, kita kena bersedia menanggung harga yang perlu dibayar untuk menikmati kemudahan tersebut," katanya.
Mengulas soal akauntabiliti dan kebolehpercayaan sistem tenaga, Aksyah berkata, fakta menunjukkan jidar simpanan (reserve margin) Sabah meningkat daripada paras kritikal lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos lalu.
Beliau berkata, Sabah juga berada di landasan mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini, yang disifatkannya sebagai pencapaian nyata dalam usaha menangani masalah catuan elektrik (blackout) yang sekian lama membebankan peniaga kecil, sekolah dan hospital.
Aksyah turut menolak kebimbangan bahawa pelarasan tarif akan meningkatkan kos perniagaan, sebaliknya berkata bekalan elektrik yang tidak stabil turut membawa kos tersembunyi kepada ekonomi rakyat.
"Mana yang lebih membebankan perniagaan dan kilang-kilang kecil di Sabah? Membayar pelarasan tarif yang minimum untuk bekalan elektrik yang stabil sepanjang hari, atau menanggung kerugian beribu-ribu ringgit setiap bulan akibat barangan rosak apabila elektrik terputus secara tiba-tiba?
"Bekalan elektrik yang tidak boleh dipercayai itulah kos tersembunyi (hidden cost) sebenar yang membunuh ekonomi rakyat," katanya.
Menurutnya, usaha membina keterjaminan tenaga mandiri menerusi agenda SMJ 2.0 memerlukan keberanian politik untuk membuat keputusan yang betul bagi jangka panjang, bukan keputusan populis semata-mata.
Katanya, kerajaan negeri kini membelanjakan berbilion ringgit untuk membina loji gas di Sandakan dan Tawau, selain memacu pelaksanaan Solar Berskala Besar (LSS) serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi memastikan kawasan Pantai Timur mendapat bekalan tenaga yang stabil.
Aksyah turut mengingatkan supaya rakyat tidak terpengaruh dengan retorik bahawa Sarawak memberi diskaun manakala Sabah menaikkan tarif, kerana usaha mewujudkan sistem grid moden dan stabil memerlukan pembetulan struktur tenaga terlebih dahulu.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur tenaga seperti Empangan Bakun juga pernah berdepan tentangan dan kritikan ketika mula dicadangkan, namun kini Sarawak menikmati manfaat daripada kemudahan berkenaan.
"Jika kita ingin menikmati sesuatu yang baik untuk jangka masa panjang, kita juga perlu bersedia melabur untuk harganya.
"Janganlah kita bermimpi memakai kereta Proton X70 tetapi hanya mahu keluar belanja serupa menaiki motor kapcai sahaja," katanya.















Comments