Anwar desak PBB berperanan sebagai broker keamanan yang jujur dalam isu Palestin-Israel
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar desak PBB berperanan sebagai broker keamanan yang jujur dalam isu Palestin-Israel


20 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


RIYADH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anggota Majlis Keselamatan PBB, khususnya lima anggota tetap badan dunia itu, untuk bertindak sebagai broker keamanan yang jujur dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel yang berlarutan.


“Malaysia bersedia untuk menyertai usaha antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bekalan bantuan,” katanya semasa Sidang Kemuncak GCC-ASEAN Riyadh, di sini, yang merupakan julung kali diadakan antara ASEAN dengan negara-negara Teluk.


Beliau juga menuntut agar tanah, rumah dan harta benda rakyat Palestin dikembalikan, serta dibenarkan hidup dengan aman dan bermaruah di negara berdaulat mereka sendiri di sempadan yang diiktiraf antarabangsa, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.


Dalam pada itu, Anwar juga mengecam kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, dan mendesak agar koridor kemanusiaan ke Gaza dibuka untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang memerlukan.


“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi menutup mata terhadap kekejaman itu. Kita mesti menamatkan layanan yang tidak seimbang dan hipokrasi yang terang-terangan. Punca konflik mesti ditangani. Tanpa pengecualian, hak asasi manusia mesti dilindungi dan undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan,” katanya.


Anwar berkata Malaysia, sebagai koordinator bagi rantau ASEAN, berharap agar persidangan tersebut dapat meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan GCC dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan dan keselamatan.

bottom of page