top of page

Anwar terima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye

  • nabalunews
  • 19 hours ago
  • 2 min read

Gambar dari BERNAMA
Gambar dari BERNAMA

7 Januari 2026


ANKARA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Prof Dr Haluk Gorgun, pada hari kedua lawatan rasmi beliau ke republik berkenaan.


Pertemuan itu membuka ruang perbincangan yang konstruktif bagi memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye, khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan, pemindahan teknologi serta latihan dan pembangunan modal insan sebagai teras kelestarian industri pertahanan negara.


Perbincangan turut menyentuh kerjasama sedia ada yang telah terjalin melalui syarikat-syarikat pertahanan kedua-dua negara, dengan penegasan bahawa usaha berkenaan wajar diperkasakan ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh, berlandaskan prinsip saling melengkapi serta manfaat bersama, selari dengan kepentingan keselamatan serantau dan kedaulatan negara.


Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.


Delegasi Turkiye pula dianggotai Menteri Pertahanan Yasar Guler yang juga menteri pengiring, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Turkiye-Malaysia Dr Mehmet Demiroglu, Pengurus Besar ASELSAN Ahmet Akyol, serta Pengurus Besar Defence Technologies Engineering and Trade Inc (STM) Ozgur Guleruz.


Terdahulu, Perdana Menteri diberi penghormatan melaksanakan istiadat peletakan kalungan bunga di Anıtkabir di sini, yang menempatkan makam Mustafa Kemal Ataturk, tokoh pengasas republik Turkiye.


Anwar turut dibawa meninjau persekitaran kompleks berkenaan, termasuk muzium yang menghimpunkan naratif sejarah, pengorbanan serta visi besar pembinaan negara bangsa republik itu.


“Kunjungan ini memberi ruang renungan yang mendalam tentang makna kepemimpinan, pengabdian kepada tanah air serta pentingnya nilai kenegaraan dalam membina masa depan yang adil dan bermaruah,” kata beliau dalam satu kenyataan.


Anwar berada di Turkiye bagi lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara. -BERNAMA

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page