top of page

Anwar ucap tahniah BN menang di Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

25 Januari 2026


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.


Beliau berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang ditunjukkan BN di peringkat akar umbi.


“Tahniah kepada YB Parlimen Kinabatangan dan YB DUN Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Ismail Ayob atas kemenangan ini.


“Dengan doa agar legasi khidmat dan kepemimpinan allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.


Anwar menegaskan, kemenangan tersebut perlu ditanggapi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan.


Menurut beliau, kepimpinan itu juga memerlukan keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.


Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan komitmen untuk memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh secara berterusan.


“Kerajaan Madani akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama,” ujarnya.


Semalam, keputusan PRK Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim yang mewakili BN menang dengan majoriti 14,214 undi menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).


Mohd Ismail pula merekodkan majoriti 5,681 undi dalam pertembungan satu lawan satu dengan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.


PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar yang menyandang dua kerusi terbabit pada 5 Disember lalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page