APM Bantu Tangkap Dua Lembu Terlepas
- nabalunews
- 6 days ago
- 1 min read

7 Jun 2025
SANDAKAN: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan tampil membantu penduduk dalam dua insiden berasingan melibatkan lembu korban yang terlepas semasa persiapan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Dalam kenyataan rasmi APM Sandakan, dua panggilan kecemasan diterima pada 6 dan 7 Jun, masing-masing melibatkan seekor lembu yang terlepas dari kawasan penyembelihan.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada jam 7:30 pagi, apabila seekor lembu dilaporkan terlepas dan berkeliaran di hadapan Sekolah Kebangsaan Karamunting, di sini.

Katanya, Pasukan APM segera dikerahkan ke lokasi untuk mengawal keadaan dan memastikan keselamatan awam.
“Manakaa kejadian kedua dilaporkan berlaku pada jam 10:04 pagi, apabila seekor lagi lembu agresif terlepas di kawasan Padang Golf Batu 5, di sini.
“Pasukan APM sekali lagi bertindak pantas bagi menenangkan dan menangkap haiwan berkenaan,”’katanya.
Menurutnya, kedua-dua lembu berjaya ditangkap dan ditenangkan menggunakan peralatan khas termasuk tali dan selimut.
Katanya, usaha menangkap kedua-dua haiwan berkenaan berjalan lancar dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dilaksanakan.
“APM Sandakan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya dalam pengendalian haiwan ternakan, terutamanya semasa musim ibadah korban,” katanya.
Comments