Armizan luang masa santuni mangsa banjir, tanah runtuh di Papar
- nabalunews
- Sep 16, 2025
- 1 min read

16 September 2025
PAPAR: Seramai 278 jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh kini ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Papar setakat jam 10 pagi hari ini.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, seramai 63 orang terdiri Ketua Isi Rumah (KIR) dan 215 ahli keluarga (AIR).
“Pusat Bencana Daerah Papar telah menyediakan tiga PPS, iaitu Dewan Masyarakat papar yang menempatkan 34 orang KIR dan 116 Air, Dewan Lok Kawi Height, Kinarut, Papar (24 Kir, 77 AIR) dan Balai Raya Kg Mook, Kinarut, Papar (5 KIR, 22 AIR),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan dan menyantuni mangsa banjir dan tanah runtuh di PPS Dewan Lok Kawi Height, Kinarut hari ini.
Armizan berkata, ekoran bencana itu, beberapa laluan di Papar terputus akibat banjir kilat dan runtuhan cerun. Setkat pagi ini empat kawasan boleh dilalui semulam. “Turut terjejas 15 buah sekolah,” katanya.
Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup berkata, runtuhan pada 13 September 2025 (Sabtu) berlaku setelah hujan lebat dan arus deras membawa pelbagai debris termasuk sisa kayu dan batuan dari hulu sungai.
“Lawatan petang ini bersama agensi teknikal untuk menentukan bentuk penyelesaian yang sesuai mengambil kira risiko keadaan ekstrem di lapangan. Kerajaan memberi komitmen membina alternatif dengan skop dan spesifikasi yang bersesuaian,” katanya.
Armizan menyantuni mangsa banjir sambil menghulurkan bantuan di PPS Dewan Lok Kawi Height, Kinarut, Papar















Comments