Bas Bawa Pelajar MRSM Terbalik di Jalan Tamparuli–Ranau, 9 Cedera
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TUARAN, 1 September – Seramai sembilan orang pelajar mengalami kecederaan ringan manakala seorang guru pengiring dilaporkan selamat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah bas persiaran, sebuah Perodua Alza dan sebuah van Toyota Hiace di Kampung Bongol, Jalan Tamparuli–Ranau, pagi semalam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Kejadian berlaku sekitar jam 10.20 pagi apabila bas yang membawa 35 orang pelajar dan seorang guru dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH), Tuaran, dipercayai mengalami masalah teknikal ketika melalui kawasan selekoh menuruni bukit. Bas tersebut hilang kawalan, memasuki lorong bertentangan dan bergesel dengan sebuah Perodua Alza sebelum melanggar lereng bukit, terbalik dan terkena sebuah van yang berada di lokasi kejadian.

Kesemua mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Kota Belud dan Hospital Tuaran menggunakan ambulans daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Semua pesakit luar tersebut telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 11.00 pagi dan operasi menyelamat yang dikendalikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud selesai sepenuhnya pada jam 12.32 tengah hari. Trafik di laluan berkenaan telah kembali normal selepas kerja-kerja pembersihan lokasi kejadian selesai dilaksanakan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Pihak sekolah sedang mengumpul maklumat lengkap mengenai kejadian dan akan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa serta keluarga mereka.
Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya, terutamanya pengendali kenderaan membawa penumpang, supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan, khususnya di kawasan simpang tiga dan selekoh yang berisiko tinggi.















Comments