top of page

Basari, Calon UPKO Di Dewan Undangan Segama

  • nabalunews
  • Nov 4
  • 2 min read

ree

4 November 2025


LAHAD DATU: Dewan Undangan N.61 Segama, turut tidak terlepas daripada kehangatan Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah, apabila seorang lagi pemimpin dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dijangka akan menawarkan diri sebagai calon.


Naib Presiden UPKO, Datuk Basari Sarkun bukanlah nama asing dalam arena politik tempatan malah beliau dikenali sebagai seorang pemimpin berpengalaman luas serta mempunyai hubungan erat dengan pelbagai lapisan masyarakat khususnya DUN Segama.


Keakrabannya dengan rakyat pelbagai suku dan latar belakang di kawasan itu memberi kelebihan besar dari segi penerimaan serta sokongan akar umbi.


Untuk rekod, Datuk Basari pernah berkhidmat dalam sektor awam sebagai Penyelia Kemajuan Masyarakat Lahad Datu (1987–1990) sebelum dilantik sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat Lahad Datu (1990–1994).


Pengalaman luas dalam perkhidmatan awam memperkukuh kefahaman beliau terhadap keperluan pembangunan komuniti luar bandar dan kebajikan rakyat di peringkat lapangan.


Sepanjang penglibatan beliau dalam politik dan masyarakat, Basari sentiasa menekankan agenda pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan rakyat serta perpaduan antara kaum, khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan perhatian serius daripada kerajaan.


Di peringkat akar umbi, nama Datuk Basari sering dikaitkan dengan pelbagai inisiatif kemasyarakatan seperti bantuan pendidikan, pembangunan keusahawanan, program belia, dan usaha memperkasakan golongan petani serta nelayan.


Selain memegang jawatan politik, beliau turut memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Ladang Bagahak Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), serta Ahli Lembaga Pengarah POIC Sabah.


Kedudukan beliau dalam pelbagai organisasi strategik ini memperlihatkan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan dan kebolehannya dalam mengurus hal ehwal pembangunan serta ekonomi wilayah.


Ia juga membolehkan beliau menjalin kerjasama erat antara sektor kerajaan, koperasi, dan swasta dalam memperkukuh ekonomi tempatan, khususnya di Lahad Datu dan Segama.


Menurut beberapa pemerhati politik tempatan, kehadiran Datuk Basari dalam gelanggang PRU kali ini dilihat mampu memperkukuh kedudukan UPKO dan Pakatan Harapan (PH) di Pantai Timur Sabah.


Ia khususnya dalam usaha menarik sokongan pengundi luar bandar yang mahukan wakil rakyat berpengalaman, berintegriti, dan berjiwa rakyat.


Sekiranya dicalonkan, Basari dijangka berdepan pertandingan sengit di kawasan strategik itu yang sering menjadi tumpuan pelbagai parti besar.


Dengan pengalaman luas beliau sebagai pemimpin kanan UPKO, bekas pegawai kerajaan berpengalaman serta peranan penting dalam pelbagai institusi pembangunan dan ekonomi negeri, Basari dilihat sebagai calon berwibawa dan berpotensi membawa nafas baharu kepada pembangunan kawasan tersebut serta memperkukuh peranan UPKO sebagai parti lokal berpengaruh di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page