Bayi Ditinggalkan Di Taman Awam Teluk Likas Ditemui Selamat
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

21 Disember 2025
KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di kawasan Taman Awam Teluk Likas, di sini, awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan bayi terbabit hasil panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 6.30 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati bayi terbabit yang dipercayai baru dilahirkan ditemui berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Bayi itu segera dibawa ke Hospital Likas oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang saksi mata yang melihat kejadian itu, selain kawasan berkenaan juga tidak dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
“Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut dimaklumkan bagi tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Kasim berkata polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, SM Rosmah Pg Hasim di talian 011-316 7612.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat,” katanya.














