Bekas Presiden SLS Antara Enam ADUN Dilantik
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 1 min read

2 Disember 2025
KOTA KINABALU: Bekas presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) Datuk Roger Chin, merupakan antara enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik yang menerima watikah pelantikan dalam satu istiadat di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Roger merupakan aktivis yang lantang dan tegas memperjuangkan pemulangan 40 peratus hasil cukai Sabah, selain menjadi antara penggerak utama dalam kes bersejarah di Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang memerintahkan kerajaan Persekutuan membayar hak negeri ini.
Setiausaha Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Ying, serta Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Grace Li Mei, turut tersenarai sebagai wakil masyarakat Cina yang dilantik.
Pelantikan tersebut sekali gus menunjukkan usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memperluas penyertaan komuniti itu dalam kerajaan negeri.
Turut dilantik ialah Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Mohamad Razi yang sebelum ini tewas dalam saingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau pada pilihan raya negeri, Sabtu lalu.
Dua lagi ADUN Dilantik ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun, dan Timbalan Ketua Bahagian parti itu bagi kawasan Sulaman, Datuk Abdul Kassim Razali.
Peruntukan di bawah Perkara 14(C) Perlembagaan Negeri Sabah memberi kuasa kepada Ketua Menteri untuk melantik enam individu sebagai ADUN Dilantik.
Pelantikan ADUN berkenaan bertujuan memastikan penyertaan wakil masyarakat minoriti dan kelompok profesional dalam Dewan Undangan Negeri.














