Belanjawan 2026: Pengukuhan Agenda Reformasi Subsidi Bersasar
- nabalunews
- Oct 13
- 2 min read

13 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melihat Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini sebagai pengukuhan kepada agenda reformasi yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu disalurkan menerusi pemberian subsidi secara pukal kepada pemberian subsidi secara bersasar.
Katanya, ia menerusi pemberian bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai RAHMAH (STR) dan bantuan sara hidup untuk membeli barangan keperluan melalui Sumbangan Asas RAHMAH (SARA).
“Dalam belanjawan 2026 di bawah kerajaan Madani, kita perkukuhkan program bantuan kepada rakyat ini melalui dua kaedah pertamanya adalah sumbangan tunai rahmah, tunai direct ke dalam akaun rakyat.
“Yang kedua adalah bantuan SARA Hidup pembelian barang keperluan harian melalui SARA dan berapa peruntukan dia, peruntukan untuk STR dan SARA bagi golongan ataupun kategori-kategori yang telah ditetapkan itu termasuklah kategori B40 M40 rendah, warga emas serta bujang keseluruhan peruntukan dia adalah sebanyak RM13 bilion.
“Ia jauh lebih banyak jika dibandingkan mula dulu 2012 RM2.6 bilion sekarang 2026 adalah sebanyak RM13 bilion untuk kategori-kategori yang telah ditetapkan dan penerima yang bagi kategori berpendapatan rendah RM2,500 ke bawah dengan tanggungan lima orang anak kalau dulu yang paling tinggi terima 2012 itu RM500 sekarang boleh menerima mencecah RM4,600 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Pelaksanaan SHMMP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Armizan berkata, ia termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas yang akan menerima sebanyak RM100 melalui pemberian SARA untuk semua.
Bermula Januari 2026, semua penerima STR akan turut menerima SARA bulanan sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun.
Bagi penerima STR di bawah program e-kasih, bantuan SARA akan ditingkatkan kepada sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.
Manakala, penerima kategori bujang turut menerima SARA RM50 sebulan atau RM600 setahun.


















Comments