Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam terima bantuan kewangan sebulan gaji
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

12 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri, termasuk pegawai berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian.
Pengumuman itu dibuat Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, bayaran itu membabitkan 18,853 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan dianggarkan RM52.6 juta.

“Bantuan Kewangan ini akan dibayar dua fasa iaitu pada Februari sebelum Aidilfitri dan sebelum sambutan Kaamatan 2026.
“Bantuan Khas Kewangan ini turut dipanjangkan kepada pesara Kerajaan Sabah berjumlah RM1,000 yang akan dibayar tahun depan,” katanya.
Sebelum itu, Masidi berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM7.6 juta bagi menggalakkan pembelajaran secara berterusan dalam kalangan penjawat awam.
“Ia sebagai usaha membentuk barisan pegawai berpengetahuan, berkemahiran tinggi, dan berdaya kepimpinan,” katanya.
Tambah beliau, RM16.85 juta turut diagihkan kepada semua agensi kerajaan negeri di bawah pembangunan sumber manusia bagi memastikan penjawat awam terlatih, cekap dan dilengkapi pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi cabaran semasa.


















Comments