top of page

Belasah Pelajar Madrasah, Ustaz Mengaku Salah Dan Didenda RM18,200

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

22 Disember 2025


KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dirakam membelasah sekumpulan pelajar madrasah sehingga tular di media sosial mengaku bersalah atas 13 pertuduhan dan dikenakan denda keseluruhan RM18,200.


Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, yang membuat pengakuan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, Saifur Rahman didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap 13 pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 20 tahun pada 14 Disember lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.


Peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai ustaz dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan serta merupakan pesalah pertama.


Mohd Ari Nadzrah turut menegaskan perbuatan anak guamnya memukul bukan alasan yang wajar, sebaliknya hanya faktor mitigasi untuk dipertimbangkan mahkamah.


“Selain itu, siasatan mendapati semua mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam, manakala laporan polis juga dibuat oleh pihak polis sendiri, bukan oleh mangsa atau ibu bapa mereka,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman setimpal atau lebih berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kes, selain sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama.


Mahkamah turut dimaklumkan, laporan polis dibuat pada 15 Disember lalu kira-kira jam 7.07 malam selepas video kejadian berkenaan tular.


Hasil siasatan mendapati tertuduh tidak menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis berkenaan, sebelum semua mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut.


Siasatan kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Polis Rismahwati @ Juliza Suriansah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page