Belia Perlu Buktikan Rasa Cinta Pada Negara – Norazlinah
- nabalunews
- Aug 15
- 1 min read

15 Ogos 2025
KUNAK: Golongan belia perlu turut sama menunjukkan semangat cinta dan sayangkan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak, Datuk Norazlinah Arif berkata golongan tersebut perlu bersama menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan menunjukkan semangat patriotisme dalam diri.
"Seruan saya sudah tentu buat para belia di daerah Kunak, negeri Sabah dan di Malaysia, mari kita sama-sama menjalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dalam memastikan di sebalik semua polemik yang ada, tanggungjawab kita sebagai rakyat perlu kita buktikan dahulu.
"Sebelum terlalu banyak kesan negatif yang kita suarakan, jauh lebih penting adalah untuk kita menunjukkan contoh yang baik dan contoh itu perlu datang dari diri kita dan mari kita buktikan kasih sayang dan semangat patriotisme kita kepada negara kita," menurut beliau semasa ditemui media selepas berucap merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Daerah Kunak.
Tambah beliau, belia tidak terkecuali untuk harus mempunyai rasa cinta kepada tanah air ini.
"Kita melihat sekali lagi belia daerah kunak menunjukkan kehebatan mereka apabila memenangi Johan dan Naib Johan pertandingan Pengisahan Kenegaraan di bawah anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
"Jadi ini menunjukkan bahawa belia juga tidak terkecuali dalam harus mempunyai rasa cinta kepada negara dan saya yakin pertandingan dan aktiviti-aktiviti seumpama ini boleh mencungkil lebih banyak lagi rasa dan semangat patriotisme di kalangan anak-anak belia," tambah beliau lagi.
Konvoi KMJG 2025 yang diketuai oleh Pengarah JAPEN Sabah Jainisah Mohd Noor itu tiba di Dewan Arena Belia Kunak selepas menghabiskan 10 hari perjalanan dan menghabiskan 37 perhentian sebelum tiba di daerah ini.


















Comments