Billy Joe Dominic bawa agenda ‘Sabah First’ ke Kapayan
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

15 November 2025
KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, Billy Joe Dominic, bertekad membawa agenda “Sabah First” yang meletakkan suara, hak dan kepentingan Sabah sebagai asas setiap keputusan politik dan dasar kerajaan.
Menurutnya, agenda Sabah First yang dibawanya ke kawasan itu membawa maksud setiap keputusan mesti meletakkan kepentingan Sabah di hadapan, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau kepentingan parti luar.
“Saya menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini atas kesedaran bahawa Kapayan memerlukan satu pimpinan baharu.
“Pimpinan yang lebih berani, berprinsip, pimpinan bersih dari rasuah serta salah guna kuasa dan berintegriti, selaras dengan aspirasi era baharu Kapayan,” katanya.
Billy berkata, fokus beliau adalah untuk memperjuangkan hak-hak Sabah yang disifatkan semakin terhakis oleh kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menggariskan beberapa fokus utama kepimpinannya jika diberi mandat, termasuk pembangunan infrastruktur asas, pembangunan kerohanian selain membuka peluang pendidikan yang lebih baik.
“Saya juga akan memberi tumpuan terhadap kebajikan dan ekonomi keluarga, pemerkasaan belia serta wanita, serta pembangunan keusahawanan,” ujarnya.
Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata pengalaman tiga tahun berkhidmat dalam dunia politik memberikan perspektif jelas tentang kepimpinan berprinsip yang ingin dibawanya.
“Apa yang saya pelajari daripada Datuk Ewon membentuk keberanian dan integriti yang saya bawa hari ini. Itu standard kepimpinan yang mahu saya terjemahkan di Kapayan.
“Kapayan bukan sekadar tempat saya berkhidmat, tetapi juga adalah rumah saya yang ingin saya berikan dan sumbangkan sebaiknya secara berkomuniti untuk masa depan Kapayan yang lebih baik dan maju,” katanya.


















Comments