BN akan runding calon PRK Kinabatangan, Lamag
- nabalunews
- Dec 14, 2025
- 1 min read

14 Disember 2025
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan rundingan dengan semua pihak, khususnya parti-parti yang membentuk kerajaan Sabah, berhubung calon Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan menerusi meja rundingan memandangkan BN kini merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.
"Oleh kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, tidak mustahil untuk kita mengadakan perundingan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi juga parti-parti lain yang pernah bertanding di Lamag sebelum ini.
"Bagi Parlimen Kinabatangan, kita juga akan berunding…jika perundingan dengan semua pihak dapat dilakukan, itu adalah kaedah yang lebih baik memandangkan tempoh Parlimen masih berbaki sehingga 24 bulan,” katanya memetik laporan Bernama.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebelum ini memaklumkan akan bermesyuarat pada 16 Disember depan bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen P.187 Kinabatangan dan DUN N.58 Lamag.
Ia selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan disahkan oleh SPR.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini, Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 135 undi dalam saingan enam penjuru.


















Comments