top of page

BN Bergabung Dengan PH Sabah- Bung Moktar Radin

  • nabalunews
  • Apr 14
  • 1 min read

14 April 2025


KOTA KINABALU: “Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang” - Datuk Seri Bung Moktar Radin.


Pengerusi BN Sabah itu berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat semasa program ‘retreat’ yang diadakan di Pulau Pinang, hujung tahun lalu.


Bagaimanapun katanya, keputusan itu tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain di Sabah.


"Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan 'retreat' pada satu ketika dan kita memutuskan akan bergabung dengan PH.


"Bagi parti-parti lain, kita tidak menutup pintu. Mana-mana parti yang kita lihat ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan, kita akan pertimbangkan untuk bergabung," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis rumah terbuka di kediamannya di sini, malam Ahad.


Bung berkata, perbincangan rasmi akan diadakan bersama pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat.


Katanya, beliau perlu mengumumkan awal kerana UMNO Sabah sentiasa bersedia dan mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi.


“Kami telah berada di sini selama ini dan kami mempunyai akar umbi yang telah lama menunggu. Jadi, sudah tidak boleh menunggu lebih lama lagi.


"Semakin lama saya menunggu, semakin lama kita berpecah. Perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat sebab pilihan raya semakin dekat," katanya.


Sementara itu, mengenai sasaran kerusi, Bung berkata, ia bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya calon berpotensi untuk menang harus diberi keutamaan.


"Bukan kita mengharap, kita mahu calon yang boleh menang. Kita tidak tamak, kalau kita boleh menang, kita tanding, perlu fleksibel, kali terakhir kita bertanding 41 kerusi," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page