Buang Bayi, Ibu Kandung Ditahan
- nabalunews
- Jul 22, 2025
- 1 min read

22 Julai 2025
LAHAD DATU: Seorang wanita ditahan selepas mengaku melahirkan sebelum meletakkan bayinya di luar rumah dalam kejadian di Kampung Burung, Jalan Bakawali, di sini, 18 Julai lalu.
Wanita berusia 30 tahun terbabit ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada Ahad lalu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek mengaku melahirkan bayi terbabit di rumahnya dan meletakkannya di luar rumah.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Pihak polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.06 pagi, Jumaat lalu, pihak polis menerima makluman daripada orang awam yang melaporkan penemuan bayi terbabit.
Bayi baru lahir yang ditemui masih hidup itu terus dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 7.02 malam, hari yang sama, akibat dilahirkan pra matang dan mempunyai berat badan terlalu rendah.















Comments