Bung Moktar Cetus Kemajuan Bola Sepak Sabah
- nabalunews
- 17 minutes ago
- 1 min read

5 Disember 2025
KOTA KINABALU: “Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin boleh disifatkan sebagai pemimpin yang berjaya membawa Sabah FC sebaris dengan pasukan yang digeruni lawan”
Demikian tegas Bekas Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang menyatakan kebangkitan pasukan Sabah FC sebelum ini terserlah menerusi kepimpinan dan sokongan penuh kepada pemain serta jurulatih.
Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang pejuang dan pemimpin yang sangat baik serta sentiasa memberi sokongan serta kepercayaan kepada pasukan.
“Apabila kita mempunyai seorang pemimpin yang memberi kepercayaan 100 peratus, kita berjaya mencapai sesuatu yang baik.
"Ini menunjukkan Datuk Bung sentiasa memikirkan yang terbaik untuk semua yang berada dalam pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Masjid Bandaraya di sini, hari ini.
Kim Swee berkata, Allahyarham tidak pernah campur tangan dalam hal-hal yang tidak berkaitan dengan prestasi pasukan, tetapi sentiasa memastikan kebajikan pemain dan jurulatih diutamakan.
Katanya, sumbangan Ahli Parlimen Kinabatangan itu memastikan kesejahteraan pasukan dan membina semangat kerja berpasukan dalam kalangan pemain serta jurulatih.
“Ia dilihat sebagai faktor penting dalam kejayaan dan prestasi pasukan Sabah sepanjang tempoh kepimpinannya.
“Kehilangan beliau semestinya dirasai bukan sahaja untuk pasukan Sabah, tetapi juga untuk sukan negeri dan rakyat atas dedikasinya dalam membangunkan bola sepak negeri,” katanya.


















Comments