top of page

Calon UPKO DUN Kundasang tawar lima pelan tindakan pembangunan

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

21 November 2025


RANAU: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Rogers Tiam, menawarkan lima pelan tindakan dalam manifestonya sebagai komitmen untuk membawa pembangunan menyeluruh dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.


Katanya, manifesto “Sabah First, Kundasang Maju” itu bakal menjadi penanda aras yang akan dinilai rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan, sekiranya beliau diberi mandat dalam pilihan raya negeri kali ini.


Menurutnya, lima teras utama tersebut ialah pembangunan infrastruktur, kemakmuran ekonomi, kecekapan perkhidmatan wakil rakyat, pendidikan dan kesihatan, serta sukan dan kebudayaan.

ree

Pemodenan Pekan Kundasang sebagai pekan pelancongan bertaraf tinggi termasuk pembinaan stesen pengangkutan awam serta sistem parkir pintar di pekan itu menjadi antara agenda utama beliau dalam pelan pembangunan infrastruktur.


Turut diberikan tumpuan adalah penaiktarafan jalan raya pertanian, penambahbaikan saliran air dan penstabilan bekalan elektrik ke seluruh kampung di Kundasang.


Bagi meningkatkan kemakmuran ekonomi, Rogers bertekad memperkukuh sokongan keusahawanan khususnya usahawan belia dan wanita, selain memodenkan sektor pertanian serta agro-pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama di kawasan itu.


Dalam masa sama, beliau turut berjanji meningkatkan kecekapan perkhidmatan wakil rakyat dengan inisiatif pendigitalan perkhidmatan dan sistem aduan online tanpa birokrasi.


Selain itu, beliau juga akan menubuhkan jawatankuasa khas isu tanah selain menyediakan rumah rumah transit Kundasang di Kota Kinabalu khusus untuk keluarga yang memerlukan bagi tujuan kesihatan, pendidikan atau kecemasan.


Bagi aspek pendidikan pula, Rogers mahu mempercepatkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang, menaik taraf fasiliti sekolah, menyediakan bantuan khas untuk pelajar melanjutkan pengajian.


Beliau juga bercadang untuk menubuhkan institut pendidikan lepasan SPM khusus dalam bidang keusahawanan, pertanian moden dan pelancongan.


Aspek kesihatan turut menjadi agenda utama Rogers dengan tawaran perkhidmatan van charter percuma ke Kota Kinabalu bagi tujuan rawatan, selain meyediakan klinik bergerak ke kampung-kampung seluruh Kundasang.


Bagi pelan pemerkasaan sukan, beliau bertekad membina fasiliti baharu dan menaik taraf fasiliti sedia ada, serta menggalakkan program pembangunan bakat termasuk e-sukan.


Sementara itu, beliau juga mahu menubuhkan pusat kebudayaan dan kraftangan Kundasang bagi mempromosi produk tempatan dan seni budaya Dusun sekali gus menjadikannya sebagai salah satu tarikan pelancongan utama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page