top of page

Calon UPKO Junsim Rumunzing tawar 9 teras manifesto pembangunan Bengkoka

  • nabalunews
  • 25 minutes ago
  • 2 min read

ree

18 November 2025


KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka, Junsim Rumunzing, menggariskan sembilan teras utama dalam manifestonya sebagai komitmen untuk membawa pembangunan menyeluruh dan berfokus kepada kesejahteraan penduduk kawasan itu.


Manifesto “Demi Bengkoka Yang Lebih Maju Dan Bermaruah” itu antaranya memberi penekanan pembangunan modal insan, pembangunan ekonomi berasaskan sektor perikanan dan pertanian, peningkatan kemudahan kesihatan serta pemerkasaan golongan belia dan usahawan muda.


Aspek pembangunan modal insan, katanya merangkumi perolehan kuota 5 peratus Biasiswa Kerajaan Negeri (BKN), menyediakan sokongan kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian, selain memperluas latihan kemahiran dan teknikal menerusi kerjasama agensi berkaitan.

ree

“Bagi sektor perikanan, tumpuan diberikan terhadap bantuan mendapatkan peralatan untuk nelayan, sokongan kepada penternak ikan, penaiktarafan fasiliti pemungahan hasil laut dan premis tamu yang uzur.


“Selain itu, aspek kesihatan turut diberi perhatian melalui cadangan naik taraf dan penambahbaikan tiga kemudahan utama iaitu Klinik Kesihatan Pantai, Klinik Kesihatan Bongkol dan Klinik Kesihatan Dandun bagi memastikan perkhidmatan lebih berkualiti untuk penduduk setempat,” katanya.


Junsim juga menekankan kepentingan penyelesaian isu tanah menerusi pengeluaran geran tanah bagi kampung yang berada dalam kawasan hutan simpan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA).


Dalam usaha memperkukuh pembangunan daerah, manifesto beliau turut menampilkan tawaran mewujudkan Daerah Kecil Kanibongan, sekaligus meningkatkan kecekapan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kerajaan.


“Untuk pembangunan prasarana sukan, keutamaan diberi kepada pembinaan fasiliti padang dan gelanggang di beberapa zon utama, serta penyediaan prasarana untuk aktiviti e-sukan.


“Golongan belia dan usahawan muda turut menjadi fokus utama melalui bantuan mendapatkan modal, peralatan serta sokongan teknikal, selain menggalakkan pembabitan anak muda dalam keusahawanan moden berasaskan pertanian, penternakan dan perikanan,” katanya lagi.


Sementara itu, sektor pertanian dan penternakan pula meliputi rancangan penanaman getah berkelompok, kelapa hybrid, pembinaan rumah burung walit (RBW) serta pelaksanaan program agro-makanan bagi meningkatkan pendapatan komuniti desa.


Akhir sekali, beliau memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan sektor pelancongan melalui pembangunan budaya dan eko-pelancongan, termasuk penghasilan seni dan bahasa tempatan, penyediaan produk pelancongan di Bengkoka serta aktiviti pelancongan berasaskan budaya etnik.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page