• Wartawan Nabalu News

Cawangan-cawangan UPKO Mukim Lasau sokong penuh pendirian Ewon kekal dalam parti


Ewon menerima resolusi mesyuarat agung cawangan-cawangan UPKO daripada Mukim Lasau.

11 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Sebanyak tujuh cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Mukim Lasau, di sini, menyatakan sokongan penuh pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick kekal dalam parti dan menerajui kepimpinan Bahagian Kota Belud.


Ketua UPKO Mukim Lasau Somuil Rasat turut menyatakan mereka juga memberi sokongan padu kepada Ewon untuk menjalankan amanah beliau sebagai Wakil Rakyat Kadamaian.


“Tujuh cawangan yang ada di Mukim Lasau telah selesai mengadakan mesyuarat tritahunan masing-masing sebelum ini dan telah membuat resolusi yang sama, iaitu menyokong penuh Ewon sebagai Ketua Bahagian UPKO Kota Belud dan ADUN Kadamaian walaupun berada di luar kerajaan pada masa ini.


“Bagi pemilihan parti di peringkat Bahagian, kami mahu agar Ewon kekal sebagai Ketua Bahagian UPKO Kota Belud. Kami juga berharap beliau akan memainkan peranan yang lebih besar untuk menerajui kepimpinan UPKO dan memulihkan semula keyakinan rakyat kepada parti ini,” katanya.

Ewon menyampaikan amanat kepada Ketua-Ketua Cawangan, Timbalan-Timbalan Ketua Cawangan, Ketua-Ketua Pemuda dan Wanita.

Somuil menyatakan komitmen yang ditunjukkan oleh Ewon memberi pelayanan di Kadamaian walaupun sebagai ADUN pembangkang menunjukkan kualiti kepimpinan yang perlu diteladani.


“Di mukim Lasau juga tidak ketinggalan mendapat perhatian Ewon semasa dalam kerajaan dan juga pada masa ini walaupun di luar kerajaan. Beliau tidak mudah mengalah, mempunyai prinsip dan kualiti perkhidmatan yang kami hormati. Sebab itu cawangan-cawangan UPKO di sini akan terus berdiri teguh di belakang beliau,” katanya.


Somuil menyatakan demikian dalam acara ringkas penyerahan laporan-laporan mesyuarat agung cawangan-cawangan UPKO Mukim Lasau kepada Ewon hari ini di Dewan Serbaguna Kg Lasau Minunsud.


Sementara itu, Ewon dalam ucapannya mengulas cadangan pemberian Kad Warga Asing oleh kerajaan yang disifatkan beliau umpama menjilat ludah sendiri oleh parti-parti kerajaan serta isu-isu yang dibangkitkan beliau dalam setiap sidang dewan undangan negeri seperti naik taraf jalan raya, pemilikan tanah dan sebagainya.


“Saya gembira kerana kemudahan-kemudahan yang kita bina di mukim ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penduduk termasuk dewan serbaguna yang digunakan hari ini. Sepatutnya kerajaan yang ada hari ini patut memperlihatkan kerancakan pembangunan berskala kecil dan sederhana seperti dalam tempoh 26 bulan tersebut, tetapi banyak aduan saya terima mereka tidak melihat hasil pembangunan yang dibawa masuk ke kampung-kampung oleh kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Ewon menyampaikan bakul makanan kepada cawangan-cawangan UPKO Mukim Lasau.

Ewon turut mengalu-alukan penglibatan dua orang belia yang mengambil-alih kepimpinan Ketua Cawangan di kampung masing-masing dan menyifatkan penyertaan mereka sebagai langkah progresif mahu menjadi sebahagian daripada proses tadbir urus kampung.


“Saya gembira apabila mendapat tahu bahawa dua cawangan di mukim ini diterajui oleh belia. Ianya mengingatkan saya kepada penyertaan awal saya dalam UPKO pada tahun 2005 sebaik tamat pengajian di universiti. Saya juga melawat mukim ini kali pertama sebagai Ketua Komulakan UPKO ketika itu untuk menyantuni belia-belia di kampung ini.


“Kita tidak akan mendapat gaji ataupun elaun apabila menjadi Ketua Cawangan UPKO tetapi ia memberi peluang kepada kita untuk menjadi sebahagian daripada tadbir urus kampung dan juga parti ini. Saya berharap lebih ramai belia yang akan tampil menyahut langkah progresif ini.


“Sebagai Wakil Rakyat Kadamaian, saya akan banyak dipandu oleh sokongan, teguran, bimbingan dan isu-isu yang mahu dikongsikan oleh ahli-ahli parti dan rakyat Kadamaian. Inilah yang saya akan gunakan untuk terus berkhidmat termasuk dalam sidang dewan undangan negeri, dalam libat urus isu-isu tadbir urus negara dan pelayanan saya di Kadamaian,” katanya.


Cawangan UPKO Kg Lasau Lama diketuai oleh Judin Roslan, manakala Cawangan UPKO Kg Wani diterajui oleh Rainslond Lasharus.


Lima cawangan UPKO lain di mukim ini ialah Kg Lasau Minunsud, Kg Lompios, Kg Takulung, Kg Podi dan Kg Kebidahan menyaksikan ketua-ketua cawangan sedia ada kekal.


Dalam kunjungan tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan 80 bakul makanan untuk disampaikan kepada isirumah memerlukan yang telah dikenalpasti oleh pimpinan cawangan masing-masing.