- Wartawan Nabalu News
Cuaca panas: pentadbir sekolah perlu sentiasa peka terhadap keadaan semasa

3 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif mengingatkan para pentadbir sekolah di negeri ini untuk sentiasa peka terhadap keadaan semasa di sekolah masing-masing akibat cuaca panas yang melanda negara pada masa ini.
Arifin berkata, bahawa pihak pentadbir sekolah juga diberi kuasa untuk menutup sekolah sekiranya suhu semasa melebihi 37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut dan diisytiharkan gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
"Sekiranya cuaca berada pada situasi melebihi 37 darjah celcius dan diisytiharkan sebagai gelombang haba oleh MetMalaysia, pentadbir boleh menutup sekolah atau institusi Pendidikan dibawah jagaan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya pentadbir sekolah, khususnya pengetua dan guru besar di negeri ini, untuk sentiasa peka terhadap keadaan semasa di kawasan sekolah.
Sekiranya suhu melebihi 35 hingga 37 darjah Celcius, pentadbir hendaklah menghentikan semua aktiviti luar.
Arifin juga memaklumkan bahawa penutupan sekolah selain menghentikan aktiviti luar sekiranya melebihi suhu tersebut adalah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Bagi proses penutupan sementara sekolah, para pentadbir diingatkan agar memaklumkan ibu bapa lebih awal secara bertulis.
“Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) juga akan turut bekerjasama memaklumkan situasi semasa berkaitan fenomena gelombang haba di negeri ini,” katanya.
Hingga hari ini, semua sekolah di Sabah masih berjalan seperti biasa selain meminimakan aktiviti luar bilik darjah.
Situasi cuaca panas ini adalah fenomena biasa yang berlaku di negara ini. Oleh itu, adalah penting bagi pentadbir sekolah di seluruh negara untuk sentiasa peka terhadap keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi pelajar dan warga sekolah daripada kesan cuaca panas yang terlalu ekstrem.