CUBA SELUDUP BARANG KAWALAN KE FILIPINA, TIGA WARGA ASING DITAHAN
- nabalunews
- Feb 10
- 1 min read

10 Februari 2025
KUDAT: Cubaan tiga lelaki warga Filipina menyeludup keluar barang kawalan dari perairan negara berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Dalam kejadian jam 12.13 tengah malam itu, sebanyak enam tong berisi minyak petrol, 100 pek tepung gandum dan 120 pek gula yang dipercayai cuba diseludup berjaya dirampas.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, hasil maklumat unit perisikan berjaya mengesan aktiviti pemunggahan minyak dan barang kawalan di perairan berkenaan.

Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah bot mencurigakan di kedudukan kira-kira 4.2 batu nautika timur laut Pulau Tiga dan dipercayai sedang menuju ke perairan sempadan Malaysia-Filipina.
“Pasukan operasi segera bertindak memintas dan hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa minyak petrol, tepung gandum dan gula yang dipercayai untuk diseludup keluar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan merupakan warga Filipina berusia antara 20 dan 21 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasbullah berkata, ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan terus ditahan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, anggaran keseluruhan nilai barang rampasan termasuk bot yang digunakan adalah lebih RM21,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah, Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Sehubungan itu, Hasbullah berkata, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan perairan Kudat, agar bekerjasama dengan pihak berkuasa
dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui talian Pusat Operasi Kudat di 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Comentarios