top of page

DBKK komited pastikan kemudahan rekreasi kondusif, selamat

  • nabalunews
  • Jun 2
  • 2 min read

1 Jun 2025


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan komitmen dalam memastikan kemudahan rekreasi di sekitar bandaraya kekal dalam keadaan kondusif, berkualiti dan selamat untuk kegunaan orang ramai.


DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat ini sebanyak 14 taman awam berada di bawah seliaannya, termasuk Taman Awam Teluk Likas, Taman Awam Teluk Likas Fasa 2, Taman Cycleway Fasa 3, Taman Awam Tanjung Aru, Taman Ujana Rimba Tropika dan Segama Waterfront.


Selain itu katanya, kawasan seliaan lain termasuk di Lintasan Deasoka, City Park, Taman Chong Thien Vun, Dataran Kg. Air, Dataran Bandaraya, Padang Merdeka, Taman Tugu Peringatan Petagas dan Taman Tun Fuad Stephens (Taman Botani).

“Penyelenggaraan taman awam dijalankan secara rutin (harian) mengikut jadual, bermula seawal jam 4 pagi hingga 6 petang. Ia melibatkan pembersihan sampah, parit, trek jogging atau laluan basikal; penyelenggaraan tanaman; pemangkasan pokok; pemotongan rumput.


“Manakala kerja membaik pulih secara berkala bagi semua komponen taman seperti tandas awam, pondok rehat, plaza, papan tanda, tempat duduk, tempat letak kereta, laluan pejalan kaki dan lampu taman,” menurut kenyataan itu.


Selain itu, katanya, DBKK turut menjalankan kerja menaik taraf taman awam setiap tahun bagi meningkatkan fungsi dan kualiti kemudahan rekreasi yang disediakan.


“Sehingga kini, lima taman telah siap dinaik taraf iaitu Taman Awam Tanjung Aru, Taman Tugu Peringatan Petagas, Taman Ujana Rimba Tropika, Taman Chong Thien Vun dan Taman Poket Lintasan Deasoka, manakala Segama Waterfront kini sedang dalam proses naik taraf,” katanya.


Sementara itu, dua kerja naik taraf akan dilaksanakan pada tahun ini melibatkan penggantian alatan permainan kanak-kanak di Taman Ujana Rimba Tropika dan Taman Awam Teluk Likas mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan SIRIM.


Dalam pada itu, DBKK melalui peruntukan kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang membangunan semula Taman Tun Fuad Stephens (Bukit Padang) sebagai taman botani bertaraf nasional yang dijangka siap pada Julai tahun ini.


“DBKK juga telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi membina dua taman awam baharu di kawasan utara Kota Kinabalu bagi memenuhi keperluan rekreasi penduduk setempat.


“Usaha berterusan ini menjadi bukti komitmen DBKK dalam menyediakan fasiliti yang berkualiti dan selamat kepada warga Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.


Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk menggunakan kemudahan rekreasi yang disediakan secara berhemah dan mengelak daripada melakukan vandalisme demi kesejahteraan bersama.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page