top of page

DBKK Laksana Tindakan Pengosongan Dan Perobohan Struktur Tanpa Kelulusan Di Sembulan

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

6 Januari 2026


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan struktur di kawasan Sembulan bermula awal Januari ini.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan DBKK hari ini berkata, tindakan itu melibatkan struktur yang dibina tanpa kelulusan, struktur usang dan tidak selamat untuk didiami serta struktur yang telah luput tempoh pajakan.


Katanya, tindakan diambil susulan pemantauan berterusan oleh pihak Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang mendapati wujud penempatan dan struktur tanpa kelulusan, melanggar undang-undang kecil serta berada dalam keadaan tidak selamat, kotor dan tidak teratur.

“Kawasan terlibat juga dikenal pasti sebagai antara kawasan dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di daerah Kota Kinabalu, sekali gus menimbulkan risiko kepada kesihatan awam.


“Hasil bancian dan pemeriksaan teknikal yang telah dibuat mendapati terdapat struktur sementara dan kekal yang dibina tanpa mematuhi piawaian keselamatan, perancangan dan kebersihan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja mencacatkan imej bandar raya, malah meningkatkan risiko keselamatan, kebakaran, pencemaran alam sekitar serta menjejaskan perancangan pembangunan yang sah.

“Bancian turut merekodkan terdapat seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara menyewa di kawasan berkenaan yang majoritinya terdiri daripada pemegang dokumen perjalanan tidak sah.


“Selain itu, DBKK turut menerima rungutan daripada penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan di kawasan berkenaan,” tegasnya.


Sehubungan itu katanya, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar (Sembulan Renewal Scheme).


Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran bandar, keselamatan serta kesejahteraan penduduk ke arah pembangunan kawasan Sembulan yang lebih moden, teratur, bersih dan berdaya huni.


“Sebagai langkah awal, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan bancian penduduk dan struktur di kawasan terlibat pada 8 hingga 12 Disember lalu.


“Ia diikuti dengan bancian pengesahan status kelulusan bangunan, tahap keselamatan, kebersihan serta risiko persekitaran.


“Notis pengosongan, perobohan dan pengalihan turut dikeluarkan kepada pihak terlibat pada 18 hingga 22 Disember 2025 sebagai pemakluman awal dengan tempoh munasabah diberikan bagi pengosongan secara sukarela serta perobohan sendiri struktur tanpa kelulusan,” katanya.


Menurutnya, pendekatan perbincangan dan nasihat juga telah dilaksanakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.


“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Ordinan Kerajaan Tempatan 1961, Undang-Undang Kecil Bangunan DBKK, Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Penjaja DBKK serta Undang-Undang Kecil Kebersihan dan Anti-Sampah Sarap DBKK.


“DBKK menegaskan bahawa kegagalan mematuhi notis yang telah dikeluarkan, termasuk usaha menduduki semula kawasan atau mendirikan struktur baharu tanpa kelulusan, akan menyebabkan tindakan tegas diambil termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta tanpa notis lanjut.


“Pelaksanaan operasi ini akan dijalankan secara berperingkat, teratur dan berhemah dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,”katanya.


Sehubungan itu, DBKK menyeru semua pihak yang terlibat agar memberikan kerjasama penuh demi kelancaran pelaksanaan tindakan ini serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.


“Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Jabatan Penguatkuasaan, DBKK melalui talian 088-521800 atau laman rasmi DBKK,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page